NACCOL pantau inisiatif Bajet 2022 - Utusan Malaysia

NACCOL pantau inisiatif Bajet 2022

ATAN SAPIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak tujuh kluster merangkumi 41 inisiatif digariskan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) khusus bagi menangani kos sara hidup rakyat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Sekretariat NACCOL, Atan Sapian berkata, 41 inisiatif itu melibatkan peruntukan sebanyak RM14.32 bilion sebagaimana dirancang menerusi Bajet 2022.

Kata beliau, pemantauan secara langsung memastikan semua agensi kerajaan melaksanakan segera inisiatif tersebut memandangkan peruntukan besar berkenaan perlu dirasai oleh rakyat.

Beliau berkata, langkah utama adalah memastikan bantuan keluarga Malaysia berjumlah RM8.2 bilion disegarakan pelaksanaannya dan sampai kepada rakyat.

Selain itu, katanya, mempercepat pelaksanaan semula program penghantaran gas memasak (LPG) dan Community Drumming melibatkan peruntukan sebanyak RM200 juta.

“Menerusi program itu, kerajaan menampung kos pengangkutan barangan keperluan dari bandar ke kawasan pedalaman, luar bandar dan pulau bagi membolehkan pengguna di kawasan berkenaan turut menikmati harga yang sama seperti di bandar,” katanya di sini semalam.

Atan berkata, di bawah Kluster e-Dagang, NACCOL memastikan lapan inisiatif di bawahnya dilaksanakan antaranya program menambah baik inisiatif Skim Geran Pendigitalan PKS dengan jumlah dana sebanyak RM250 juta untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar.

Di samping itu, katanya, peruntukan sebanyak RM120 juta di bawah Inisiatif Meningkatkan Jaminan Bekalan Makanan di bawah kluster makanan dipastikan dilaksanakan.

Bagi Kluster perumahan pula, katanya, ia melibatkan penyaluran peruntukan bagi kos pembinaan Projek Perumahan Rakyat di setiap negeri yang melibatkan 11,800 unit rumah berjumlah RM398 juta.

“Di bawah Kluster pengangkutan pula terdapat banyak inisiatif antaranya subsidi 50 peratus atau sehingga RM150 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak oleh keluarga B40 berjumlah RM30 juta.

“Begitu juga menerusi Kluster Pendidikan, kerajaan meneruskan penyediaan bekalan susu harian di bawah Rancangan Makanan Tambahan dengan peruntukan RM400 juta,” katanya.

Menurut beliau, NACCOL juga akan memastikan penyampaian perkhidmatan kepakaran pergigian di kawasan pedalaman berjumlah RM6.78 juta dilaksanakan di bawah kluster kesihatan. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN