Menteri bercuti diarah pulang segera, bantu mangsa banjir

Menteri bercuti diarah pulang segera, bantu mangsa banjir

ISMAIL Sabri Yaakob dalam sidang akhbar mengenai arahan supaya menteri segera pulang dari percutian di luar negara selepas turun padang melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu, Karak, Pahang, semalam. – IHSAN JPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaa­kob mengarahkan semua men­teri yang berada di luar ne­gara pulang segera ke tanah air manakala menteri yang me­ran­cang untuk bercuti ke luar negara supaya membatalkannya.

Beliau berkata, arahan tersebut dibuat supaya semua menteri dapat bersama-sama agensi kerajaan dan seluruh rakyat mem­bantu Keluarga Malaysia yang kini dalam kesusahan akibat dilanda musibah banjir.

“Mereka (menteri) yang ma­sih belum pergi dan sebagainya, batalkan percutian masing-ma­sing sehingga selesai semua masalah banjir ini.

“Mana (menteri) yang ada di luar negara, yang ada penerbangan balik, balik segera supaya kita bersama-sama dengan rakyat yang sedang kesusahan ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik dalam Facebook beliau, semalam.

Difahamkan beberapa menteri dan timbalan menteri kini berada di luar negara sama ada atas urusan rasmi, bercuti bersama keluarga dan juga yang menunaikan umrah.

Sejak dua tahun lalu, rakyat Malaysia ‘terkurung’ di dalam negara akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh du­nia dan kelonggaran yang diperoleh pada tahun ini menyebabkan ramai yang tidak melepaskan peluang untuk bercuti.

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah membatalkan lawatan rasminya ke India dan memendekkan tempoh di Turki yang sepatutnya berakhir Rabu lalu susulan banjir besar yang melanda tanah air.

Dalam banjir yang melanda negara hujung minggu lalu, Selangor adalah antara negeri yang terjejas teruk manakala negeri lain yang turut terjejas ialah Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.

Keadaaan banjir di Pahang dan Kelantan pula dilaporkan semakin buruk.

Bencana yang disifatkan luar biasa dan mengejutkan itu diburukkan lagi dengan kelewatan pihak berkuasa dan agensi kerajaan menghantar bantuan dan menyelamatkan mangsa sehingga 41 kematian direkodkan setakat semalam.

Kesemua mangsa terdiri daripada 26 lelaki, 13 wanita dan dua kanak-kanak yang melibatkan 26 mangsa di Selangor dan 15 lagi di Pahang.

Jumlah yang hilang pula mencatatkan seramai lapan orang iaitu tujuh lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak yang semuanya di Pahang.

Kelewatan itu diakui sendiri oleh Ismail Sabri sebelum keadaan menjadi lebih teratur beberapa hari kemudian selepas Perdana Menteri sendiri turun padang dan mengeluarkan arahan.

Di sebalik kekalutan Perdana Menteri itu, kelibat beberapa menteri yang tidak kelihatan sama ada dalam urusan koordinasi bantuan banjir atau turun padang bertemu mangsa menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN