IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin masih ada ruang untuk melihat penyatuan antara parti itu bersama UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN).
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, secara peribadi beliau percaya tiada tempoh masa tertentu diperlukan bagi menyatukan parti-parti tersebut demi kebaikan bersama.
Bagaimanapun, katanya, semua keputusan bergantung kepada UMNO kerana sebelum ini Bersatu dijemput untuk bersama-sama menyertai MN.
“Masalah UMNO nak jemput kami atau sebagainya, terpulanglah. Kalau orang nak buat kenduri tak nak jemput kita makan, rezeki kat rumah kita pun ada. Beras kita masak nasi sendiri, kalau makan dengan kicap dengan telur goreng pun kita makan kenyang juga.
“Saya kira rakyat sekarang ini makin faham keadaan yang sebenarnya. Bersatu kini fokus untuk mempersiap diri bersama dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) namun kami juga komited memberi sokongan padu kepada kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, itu yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Kesukarelawanan Belia Peringkat Kebangsaan di Hotel Casuarina@Meru, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ramona Mohd. Razali dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Datuk Dr. Wasitah Mohd. Yusof.
Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, jika benar seseorang pemimpin atau parti mahu melihat perpaduan bersama dalam ketiga-tiga parti itu, mereka akan bersungguh-sungguh ke arah itu dan bukan hanya sekadar bercakap.
“Tetapi kalau sekadar bercakap tapi tak buat apa-ap demi perpaduan, terpulanglah. Saya kira rakyat semakin faham keadaan sebenar,” katanya.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menolak gagasan MN kerana UMNO tidak mengikut piagam yang dipersetujui ketika kerjasama dua parti itu dibentuk.
Berdasarkan piagam MN, dua parti itu sedia menerima parti-parti lain termasuk Bersatu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Namun kata Abdul Hadi, malangnya apabila sampai peringkat pelaksanaan, kepemimpinan UMNO hanya mahu parti itu dan Pas dalam MN.
Keadaan itu, kata Abdul Hadi ia sudah lari daripada perjanjian dalam Piagam MN. – UTUSAN ONLINE