Kerjasama Malaysia-Korea Selatan bangunkan negara hab teknologi EV ASEAN - Utusan Malaysia

Kerjasama Malaysia-Korea Selatan bangunkan negara hab teknologi EV ASEAN

ADHAM Baba (tengah) melawat ruang pameran selepas majlis menandatangani MOA antara NMB dengan enam syarikat dari Korea Selatan di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menyasarkan menjadi hab teknologi kenderaan elektrik (EV) serta pengeksport komponen bagi kegunaan ekosistem mobiliti mikro di negara-negara ASEAN dalam masa terdekat.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, bagi tujuan itu, satu memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani di antara agensi di bawah kementerian iaitu NanoMalaysia Berhad (NMB) dengan enam syarikat automatif dari Korea Selatan.

Beliau menjelaskan, enam syarikat automotif terkemuka itu ialah Hyundai Kefico Corporation, Tham Corporation, Curo Co. Ltd, Hyundai Electric and Energy System Co. Ltd, Daegu Mechatronics and Materials Institute dan Signet EV.

Adham berkata, MoA tersebut akan melibatkan nilai pelaburan sasaran sebanyak AS$30 juta (RM126.88 juta) yang dijangka memacu negara mencapai sasaran berkenaan.

“Kerjasama ini merupakan satu peluang keemasan untuk membentuk asas yang lebih kukuh dalam membangunkan pasaran dan ekosistem Malaysia bagi pembangunan EV amnya dan mobiliti mikro secara khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani MoA tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim dan Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia, Lee Chi Beom.

Mengulas lanjut, Adham berkata, MoA berkenaan mencerminkan inisiatif syarikat-syarikat tempatan bekerjasama dalam menyediakan pelbagai komponen teknologi bagi pengeluaran EV dua roda dan empat roda di pasaran global.

Katanya, ia sekaligus meletakkan Malaysia sebagai pengeluar EV utama di rantau ini.

“NMB memainkan peranan utama dalam membangunkan teknologi penyimpanan tenaga seperti bateri, ultra kapasitor, hidrogen keadaan pepejal, sistem pengurusan dan pengawasan tenaga serta sebagai pengawal motor berprestasi tinggi untuk kegunaan mobiliti menerusi inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga Nasional (NESTI),” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, MoA berkenaan bakal menjadi tanda aras dalam pencapaian NMB di rantai ASEAN dan merupakan langkah pelaksanaan yang penting di NESTI.

Jelasnya, mobiliti mikro EV merupakan langkah terbaik ke arah penyertaan yang lebih inklusif oleh rakyat Malaysia dan selain peluang perniagaan.

“Usaha ini akan menghasilkan lebih 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi di bawah NESTI,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya