Kerajaan perlu perjelas monopoli 5G - Tok Mat - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu perjelas monopoli 5G – Tok Mat

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan sehingga kini belum menjelaskan kewajaran dan rasional berhubung sistem monopoli syarikat milik kerajaan, Digital Nasional Berhad (DNB) terhadap projek rangkaian 5G di negara ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, turut dipersoalkan mengenai kewajaran penubuhan DNB itu yang mana sekiranya efektif, perlu dijelaskan bagaimana peranan lebih efektif dalam pelaksanaan jaringan 5G tanpa persaingan.

“Perlukah kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan sehingga mewujudkan satu lagi syarikat berkepentingan kerajaan? 

“Jelaskan juga kelestarian model kewangan dalam membiayai DNB dan mandatnya. Apalagi bila DNB mengumumkan pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara menelan belanja sehingga RM20 bilion selama 10 tahun dengan pendanaan melalui pinjaman bank dan penerbitan sukuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mohamad memaklumkan kerajaan menubuhkan DNB  untuk melaksanakan pelaksanaan jaringan 5G manakala Syarikat SPV milik penuh Kementerian Kewangan telah diperuntukkan spectrum 5G secara percuma dan eksklusif. 

“Ia kemudian akan dijual kepada syarikat-syarikat telekomunikasi mengikut model Single Wholesale Network (SWN).  Pendekatan ini secara efektif memberikan DNB monopoli khusus dalam pelaksanaan dan pengendalian perkhidmatan 5G seluruh Negara selama 10 tahun,” katanya.

Mohamad justeru itu menambah kenyataan mengatakan bahawa model pembiayaan dicadangkan itu tidak akan melibatkan jaminan kerajaan adalah janggal memandangkan DNB merupakan milik kerajaan dan sudah pastinya sebarang risiko atas hutang serta keperluan kewangan operasinya akan secara langsung menjadi beban kerajaan.

“DNB juga diberi tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan kesediaan dan kualiti perkhidmatan rangkaian adalah terjamin kepada pengguna.  Jika mengikut model 3G/4G terdahulu, tanggungjawab ini adalah terletak kepada syarikat telekomunikasi. 

“Ia mewujudkan persaingan yang sihat antara mereka untuk memberi perkhidmatan terbaik dan pengguna mempunyai pelbagai pilihan. Bagaimana DNB akan menjadi katalis kepada persaingan sihat ini? 

 “Dengan pemusatan semuanya kepada DNB sebagai penyedia, risiko untuk berlaku ‘single point of failure’ seperti yang berlaku pada rangkaian Starhub di Singapura April lalu boleh terjadi dan berpotensi menjadi kerumitan yang besar kepada rakyat dan negara.

“Kerajaan pasti maklum bahawa model SWN ini telah terbukti gagal di negara seperti Mexico, Belarus, Rwanda, Kenya, Rusia dan Afrika Selatan semasa implementasi rangkaian 4G,” jelas beliau.

Menurut beliau, keengganan negara-negara luar untuk mengikut model ini memberi petunjuk yang jelas berkenaan kelemahan model ini sekali gus memperlihatkan risiko yang diambil oleh kerajaan memerlukan penjelasan yang konkrit. 

“Defisit keyakinan terhadap DNB dan model SWN nampaknya semakin jelas dan kerajaan mesti menanganinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN