HANOI: Angka korban akibat hujan lebat berterusan, banjir besar dan tanah runtuh yang melanda Vietnam sejak hujung minggu meningkat kepada 41 orang, ketika paras air terus naik di bandar serta kampung yang sudah tenggelam.
Beberapa kawasan di wilayah tengah Vietnam menerima lebih 1,500 milimeter (mm) hujan dalam tempoh tiga hari, sekali gus menjejaskan kawasan pengeluaran kopi utama negara itu serta destinasi pantai popular yang sering terdedah kepada bencana ribut dan banjir.
Sebuah jambatan gantung di Sungai Da Nhim, wilayah Lam Dong, turut dihanyutkan arus deras pada Khamis pagi, menurut laporan VietnamNet. Rakaman video menunjukkan jambatan itu tenggelam dalam beberapa saat, namun kesahihannya belum dapat disahkan.
Lebih 500,000 rumah dan premis perniagaan mengalami gangguan bekalan elektrik selepas infrastruktur tenaga rosak akibat banjir. Para pedagang pula memaklumkan banjir menyukarkan proses penuaian kopi di kawasan terbabit.
Agensi ramalan cuaca kebangsaan memberi amaran hujan lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat, meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh. Gambar yang tular menunjukkan penduduk, termasuk kanak-kanak, terperangkap di atas bumbung rumah sambil meminta bantuan melalui media sosial.
Pasukan tentera laut telah dikerah untuk membantu mangsa yang terkandas di wilayah Khanh Hoa, lapor Agensi Berita Vietnam, sambil menambah bahawa paras air di banyak kawasan kini mencapai rekod tertinggi.
Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan hilang, manakala lebih 52,000 rumah dan 15,000 hektar tanaman turut ditenggelami air.
Dalam kejadian berasingan di Da Lat, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun berjaya diselamatkan selepas tertimbus dalam tanah runtuh pada Rabu malam. Insiden berlaku apabila hujan lebat meruntuhkan sebahagian rumah yang didiaminya. Kanak-kanak itu ditemui dengan tangan terkeluar dari timbunan tanah dan konkrit sebelum ditarik keluar selepas sejam setengah dan kini dilaporkan stabil.










