KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mempertimbangkan kenaikan pangkat medan kepada Lans Koperal Thierry Rodger Fendy anggota yang cedera parah sehingga putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di Kepong pada 11 November lalu.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, Ketua Polis Negara (KPN) turut menyuarakan hasrat sama supaya kenaikan pangkat medan diberikan kepada anggota berkenaan sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanannya ketika menjalankan tugas.
Beliau berkata, urusan dokumentasi bagi tujuan itu sedang diusahakan menerusi kontinjen Selangor.
“Urusan dokumentasi sedang kita usahakan melalui kontinjen Selangor. Kita juga akan memproses kelayakan-kelayakan lain termasuk kemungkinan pemberian pingat dan sebagainya,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kebajikan terhadap Thierry di HKL, hari ini.
Lawatan kebajikan itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid; Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti) JPJKK Bukit Aman, Datuk Suryani Sungit dan Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) JPJKK Bukit Aman, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.
Turut hadir Ketua JPJKK Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
Dalam kejadian pada 11 November lalu, Thierry cedera parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan dua parang ketika menjalankan tugas di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong. – UTUSAN











