PETALING JAYA: Peguam kepada pelajar lelaki berusia 14 tahun yang didakwa menikam rakan sekolahnya bulan lalu memohon diberikan masa tambahan bagi mendapatkan laporan psikiatri tertuduh.
Peguam Kitson Foong berkata, tempoh tambahan diperlukan berikutan kekangan yang dihadapi pakar psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak yang mengendalikan jumlah pesakit terlalu ramai, sekali gus menyebabkan tempoh menunggu menjadi lebih panjang.
“Laporan ini amat penting. Pertama, ia bertujuan menilai keadaan mental anak guam untuk melalui perbicaraan.
“Kedua, laporan sama juga mengambil kira keadaan mentalnya ketika kesalahan didakwa dilakukan,” katanya ketika ditemui di pekarangan mahkamah selepas tamat prosiding yang dijalankan secara tertutup di sini, hari ini.
Prosiding didengar oleh Majistret Amira Sariaty Zainal manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.
Prosiding turut dihadiri peguam pemerhati, Nur Izni Syazwani Ahmad yang mewakili keluarga mangsa.
Kitson berkata, permohonan penangguhan bukan bertujuan melengahkan prosiding, sebaliknya mengambil kira keupayaan pakar psikiatri serta memastikan tertuduh berada dalam keadaan stabil sebelum menjalani penilaian.
“Pihak keluarga memberikan kerjasama penuh bagi memastikan semua maklumat dan dokumen yang diperlukan dapat disediakan secepat mungkin bagi melancarkan penyediaan laporan,” katanya.
Katanya, permohonan dibuat mengikut Seksyen 342 (4) Kanun Tatacara Jenayah bagi menilai tahap kewarasan anak guamnya.
Mengulas keadaan tertuduh, Kitson berkata, beliau belum berpeluang bertemu anak guamnya, namun dimaklumkan remaja itu berada dalam keadaan baik dan sedang menerima rawatan di hospital.
Mahkamah menetapkan 19 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Oktober lalu, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk tertuduh menjalani penilaian psikiatri. – UTUSAN










