MANILA: Seorang wanita warga China yang memalsukan kewarganegaraan Filipina untuk menjadi datuk bandar sebuah bandar di utara Manila dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Khamis selepas didapati bersalah bagi pertuduhan pemerdagangan manusia, menurut mahkamah wilayah Manila.
Alice Guo, yang pernah berkhidmat sebagai Datuk Bandar Bamban, didapati mengendalikan sebuah pusat perjudian dalam talian dioperasikan oleh warga China, di mana ratusan individu dipaksa menjalankan penipuan siber atau berdepan risiko diseksa.
Kompleks luas tersebut merangkumi bangunan pejabat, vila mewah dan sebuah kolam renang besar diserbu pada Mac 2024 selepas seorang pekerja Vietnam melarikan diri dan menghubungi polis.
Lebih 700 mangsa dari Filipina, China, Vietnam, Malaysia, Taiwan, Indonesia dan Rwanda ditemui bersama dokumen yang menunjukkan Guo merupakan presiden syarikat pemilik premis berkenaan.
Walaupun memenangi pilihan raya untuk jawatan datuk bandar Bamban, mahkamah Manila pada Jun lalu memutuskan Guo, 35, tanpa keraguan adalah seorang warga China dan tidak pernah layak memegang jawatan tersebut.
Guo dan tujuh lagi tertuduh semuanya hadir melalui pautan video dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada Khamis, kata pendakwa raya negara, Olivia Torrevillas, di luar bangunan mahkamah.
“Selepas lebih setahun, mahkamah akhirnya memberikan keputusan yang memihak kepada kami. Alice (Guo) disabitkan bersama tujuh rakan tertuduh lain. Hukuman: penjara seumur hidup,” kata Torrevillas tanpa mendedahkan identiti mereka.
Dokumen yang dikeluarkan kemudian oleh mahkamah menamakan tujuh tertuduh lain sebagai Jaimielyn Santos Cruz, Rachelle Malonzo Carreon, Walter Wong Rong, Wang Weili, Wuli Dong, Nong Ding Chang dan Lang Xu Po.
Guo ditahan polis Indonesia pada September 2024 selepas melarikan diri dari Filipina. Beliau masih berdepan pertuduhan lain, termasuk pengubahan wang haram dan rasuah. -AGENSI










