KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengeluarkan surat peringatan terakhir kepada Felda berhubung tuntutan penyelesaian isu tanah antara kedua-dua pihak sebelum 29 November ini.
Surat rasmi itu dihantar Khamis lalu dan dimuat naik dalam akaun Facebook Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Dr. Azman Ibrahim.
Surat itu ditujukan kepada Pengarah Besar Felda dan ditandatangani oleh Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai langkah akhir sebelum kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang terhadap lembaga berkenaan.
Ia merujuk hasil mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penyelesaian Isu Tanah Felda dan Kerajaan Negeri Terengganu pada 2 Oktober lalu di Menara Felda yang dihadiri kedua-dua pihak.
Surat tersebut menyatakan tarikh 29 November 2025 adalah tempoh akhir yang dipersetujui untuk Felda memberikan kata putus ke atas tuntutan-tuntutan berhubung is tanah Felda.
“Sekiranya masih tiada sebarang kata putus oleh pihak Felda pada atau sebelum tarikh tersebut, maka Kerajaan Negeri Terengganu akan meneruskan dengan tindakan undang-undang ke atas pihak Felda,” demikian kandungan surat berkenaan.
Sementara itu, Azman berkata, surat itu disiarkan kepada umum supaya ramai yang menjadi saksi bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah memberi peringatan kepada Felda berhubung tuntutan tersebut.
Terdahulu, Kerajaan Negeri Terengganu dilapor akan menyita 15,000 hektar tanah jika Felda terus berdiam berhubung isu perkongsian keuntungan membabitkan tanah kerajaan negeri selepas lebih 40 tahun tidak menerima sebarang bayaran.
Felda dilapor diberi tempoh sehingga 29 November ini untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan kerajaan negeri menawarkan 30 peratus daripada keuntungan kasar sejak April 2024 namun lembaga didakwa belum mengemukakan sebarang angka cadangan. – UTUSAN










