Kerajaan negeri diarah kawal peneroka haram Hutan Simpanan Kekal

Kerajaan negeri diarah kawal peneroka haram Hutan Simpanan Kekal – PM

ISMAIL Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat MTN ke-79 secara persidangan video. - FOTO/PEJABAT PM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua kerajaan negeri diarahkan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan penyelesaian terhadap penerokaan haram dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di semenanjung Malaysia di setiap negeri selewat-lewatnya pada 1 Jun 2022.

Perkara itu dipersetujui Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 yang dipengerusikan  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara persidangan video semalam dengan  empat kertas dibentangkan, menyentuh beberapa dasar penting berkaitan dengan perhutanan dan perlombongan. 

Perdana Menteri berkata, mesyuarat berkenaan turut bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan Moratorium Kelulusan Baharu Penubuhan Ladang Hutan dalam HSK di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun. 

“Terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat.

“Sebelum moratorium dikenakan ke atas kawasan tersebut, Kerajaan Negeri yang ingin meneruskan pembangunan ladang hutan perlu melaksanakan perundingan secara terperinci dengan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bagi memastikan syarikat-syarikat yang akan dilantik mematuhi apa-apa syarat ditetapkan dalam perjanjian konsesi serta lain-lain perundangan yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2020 bagi Seksyen 11 dan 12 yang diluluskan Jabatan Peguam Negara pada 3 Disember 2020 dan Jemaah Menteri pada 6 Januari lalu, dipersetujui untuk dibentangkan di Parlimen pada sesi pertama tahun depan.

Kata beliau, dalam konteks ini, pemakaian RUU berkenaan hanya akan terpakai di negeri-negeri setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) meminda Enakmen Perhutanan (Pemakaian) masing-masing. 

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, MTN Ke-79 juga mengesahkan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Mineral Pertama yang dipengerusikan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 16 Februari lalu. 

“Keputusan-keputusan yang dibuat dalam Mesyuarat Majlis Mineral perlu dibawa untuk persetujuan dan pengesahan MTN bagi membolehkan keputusan-keputusan tersebut dipersetujui dan disahkan.

“Ini khususnya melibatkan aspek perundangan seperti Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara serta enakmen berkaitan di peringkat negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN