SEREMBAN: DAP akan mengumumkan senarai calon dari parti itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 20 Jun ini di Johor Bahru.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan untuk mengumumkan calon lebih awal dibuat selepas perbincangan bersama Pengerusi DAP Negeri Johor, Teo Nie Ching.
Menurutnya, pengumuman tersebut dibuat bagi memastikan jentera pilihan raya dapat digerakkan dengan lebih tersusun dan berkesan.
“Semalam saya sudah berbincang dengan Teo Nie Ching, dan dan kami telahpun memutuskan untuk membuat pengumuman calon untuk calon-calon DAP di Johor pada hari Sabtu iaitu 20 Jun ini dalam satu Majlis Khas di Johor Bahru.
“Persiapan jentera di Johor sudah bermula sejak sebulan dua lalu. Kami sudah mengadakan mesyuarat dan senarai calon juga telah dimuktamadkan,” katanya pada sidang akhbar Program Edaran Tuala Muka oleh DAP Negeri Sembilan Sempena Hari Ibu Bapa di Pasar Besar Seremban, di sini, hari ini.
Anthony Loke bagaimanapun memaklumkan, satu pengumuman calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol akan diumumkan pasa 18 Jun ini.
“Pengumuman tersebut dibuat awal untuk menjelaskan kepada pengundi di kawasan itu tentang perubahan melibatkan penyandangnya, Chew Chong Sin yang akan bertanding pada peringkat Parlimen,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini telah menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun ini manakala hari mengundi pada 11 Julai.
Dalam pada itu, beliau berkata, parti itu kini memberi fokus kepada kempen yang bersifat positif dengan menekankan pencapaian Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri serta dasar-dasar yang telah dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.
“Kami mahu pastikan kempen ini membawa mesej yang positif kepada rakyat, dengan menonjolkan apa yang telah kita capai dan bagaimana ia memberi manfaat kepada mereka,” katanya.










