Keputusan kes Ahmad Zahid 24 Januari 2022 - Utusan Malaysia

Keputusan kes Ahmad Zahid 24 Januari 2022

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga tahun `turun naik mahkamah’, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengetahui nasibnya pada 24 Januari tahun depan sama ada beliau diperintah membela diri atau dibebaskan daripada tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Tarikh keputusan itu ditetapkan selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini selesai mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan yang berlangsung selama 24 hari bermula 6 September lalu.

Perbicaraan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri bermula pada 18 November 2019 dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan sebelum kes ditutup pada 19 Mac lalu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut menetapkan tarikh-tarikh pada bulan Mac, April, Mei dan Jun tahun depan untuk mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan jika mahkamah memutuskan Ahmad Zahid membela diri.

Tarikh-tarikh itu ialah 28 hingga 31 Mac, 11 hingga 13 April, 26 hingga 28 April, 23 hingga 26 Mei dan 27 hingga 30 Jun tahun depan.

Ahmad Zahid, 68, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO itu didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun berhujah agar Ahmad Zahid dipanggil membela diri kerana pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua 47 pertuduhan yang dihadapinya.

Beliau menyatakan, hujah pembelaan bahawa tertuduh tidak menerima wang tersebut kerana ia disimpan dalam akaun Yayasan Al-Falah, adalah salah dan mengelirukan.

Hujah beliau, ini kerana keterangan di mahkamah menunjukkan tertuduh menerima wang melalui cek daripada tiga saksi pendakwaan iaitu Chew Ben Ben (SP34), Junaith Asharab Md. Shariff (SP36) dan Azlan Shah Jaffril (SP38).

Peng Kun berhujah, pihak pembelaan turut bersandarkan kepada kes rasuah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa wang RM2 juta dalam kes tersebut adalah sumbangan politik kepada UMNO dan disertai dengan pemberian resit sebagai bukti.

Peng Kun berhujah, bagaimanapun dalam kes Ahmad Zahid, tiada resit dikemukakan daripada mana-mana organisasi politik atau kebajikan.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan menghujahkan, kes Ahmad Zahid adalah berbeza dengan kes bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berdasarkan fakta yang dibentangkan ketika perbicaraan.

Pihak pendakwaan turut berhujah, dalam kes-kes rasuah melibatkan pemimpin politik, jarang sekali pihak yang memberi suapan menyatakan ia adalah rasuah, sebaliknya mengaku ia adalah sumbangan politik atau tujuan kebajikan.

Peng Kun berhujah, situasi sama berlaku dalam kes Ahmad Zahid yang mana ketiga-tiga saksi pendakwaan tersebut menyatakan wang tersebut adalah sumbangan politik namun mahkamah perlu mempertimbang sama ada keterangan lisan seperti itu boleh diterima atau ditolak.

“Keterangan lisan mereka tidak boleh diterima kerana bukti berdokumen dalam bentuk cek dan akaun bank menunjukkan sebaliknya,” hujah pihak pendakwaan.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik berhujah, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan kesilapan ketika merekod kenyataan Ahmad Zahid di bawah Seksyen 30(3)(b) akta itu yang mencetuskan isu imuniti.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya