‘Kami terpaksa bekerja demi teruskan hidup’ - Utusan Malaysia

‘Kami terpaksa bekerja demi teruskan hidup’

DUA kanak-kanak Rohingya bermain di hadapan sebuah rumah yang menjadi penempatan mereka di Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Majoriti etnik Rohingya di negara ini terpaksa bekerja terutamanya dalam sektor tidak formal seperti buruh harian bagi menyara keluarga masing-masing.

Imam Hussein Abdul Kassim berkata, mereka menge­tahui status sebagai pelarian tidak membenarkan bekerja di negara ini, namun sesuatu perlu dilakukan demi kelangsungan hidup di Malaysia.

Dia mengakui, kini kehidupan semakin mencabar terutama daripada segi peluang pekerjaan.

“Dulu lebih mudah dapat kerja. Sekarang susah. Ada yang berpindah kerana tidak mampu bayar sewa rumah.

“Semalam, kawan telefon saya menangis sebab kena halau rumah. Saya pun sudah lama tidak kerja. Hanya buat kerja kampung dan tolong orang untuk sara hidup,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Imam Hussien merupakan salah seorang yang sebelum ini tinggal di sebuah bangunan empat tingkat di Kampung Baharu Sungai Makau di sini.

Dia bersama rakan senegara berpindah ke penempatan baharu kira-kira satu kilometer dari situ selepas diarahkan berpindah oleh pihak berkuasa beberapa tahun lalu.

Katanya, dia berharap ma­syarakat tidak memandang negatif terhadap keseluruhan komuniti Rohingya, hanya disebabkan tindakan segelintir individu.

Selain itu, Imam Hussein turut mengakui, terdapat segelintir warga Rohingya yang terlibat dalam aktiviti mengemis, namun mendakwa perkara itu berpunca daripada kesukaran hidup, kekurangan pendidikan dan peluang pekerjaan.

“Bukan semua orang sama. Ada yang susah kerana tidak mempunyai pendidikan dan peluang pekerjaan. Kami cuma mahu hidup dengan baik dan tidak pernah ganggu sesiapa,” katanya.

Imam Hussein turut men­dakwa, kebanyakan penghuni di penempatan tersebut merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Ramai di sini ada kad UNHCR. Kami datang ke Malaysia untuk mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih selamat.

“Kami harap masyarakat faham keadaan kami kerana kebanyakan keluarga di sini hanya mahu bekerja dan membesarkan anak-anak,” katanya.

Imam Hussein berkata, salah faham terhadap komuniti Rohingya boleh dikurangkan sekiranya identiti etnik dinyatakan pada kad dikeluarkan UNHCR.

Menurutnya, Myanmar mempunyai pelbagai kumpulan etnik, namun masyarakat sering menganggap semua pemegang kad pelarian dari negara itu sebagai Rohingya.

“Mereka terus anggap Rohingya dan bila ada masalah, kami yang kena,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN