Kementerian Pendidikan mahu semua pihak jayakan Dasar 1Murid 1Sukan

Kementerian Pendidikan mahu semua pihak jayakan Dasar 1Murid 1Sukan

ANTARA pemenang Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM- MILO 2019.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan mahu semua pihak bersama-sama menjayakan Dasar 1Murid 1Sukan bagi melahirkan pelajar yang aktif bersukan sejajar dengan anjakan 9, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, kementerian amat menghargai usaha dan peranan yang dimainkan MSSM dalam mencungkil serta membentuk bakat atlet murid dan ramai daripada mereka berjaya mengharumkan nama negara di persada sukan antarabangsa, termasuk di pentas sukan olimpik.

Katanya lagi, bermula daripada Sukan Olimpik 2000 di Sydney hingga Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada tahun ini, seramai 59 orang atlet murid daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil terpilih mewakili negara ke temasya sukan terbesar ini.

“Lebih membanggakan, kecemerlangan atlet murid ini tidak hanya terbatas kepada kejayaan dalam bidang sukan, tetapi turut cemerlang di dalam bidang akademik dan mempunyai kerjaya yang hebat.

“Mereka yang berjaya di dalam kedua-dua bidang ini adalah atlet gimrama, Lok Mei Hui, yang muncul pelajar terbaik aliran Sains dengan memperoleh 9A dalam SPM 2020; jaguh berbasikal negara, Datuk Muhammad Azizulhasni Awang turut ditawarkan melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM- MILO 2019 secara maya, hari ini.

Selain itu, kata Radzi, Dr. Mon Redee daripada sukan memanah juga merupakan seorang Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala Dr. Goh Yi Wei dari sukan gimrama yang merupakan pakar oftalmologi.

Beliau berkata, KPM merupakan antara kementerian yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Dasar Sukan Negara dengan disokong penubuhan Sekolah Sukan Malaysia dan Sekolah Sukan Negeri.

“Penubuhan sekolah sukan ini memberi ruang dan peluang kepada lebih ramai murid yang berbakat di seluruh negara mendapat latihan serta bimbingan yang lebih bersistematik, sehingga berpeluang menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya