Kebolehpasaran graduan IKN tinggi  - Utusan Malaysia

Kebolehpasaran graduan IKN tinggi 

GRADUAN yang hadir beratur bagi menunggu giliran mengambil sijil dan diploma pada Majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-19 2021 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. -UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak  81 peratus atau 2,272  daripada 2,810  graduan Institut Kraf Negara (IKN) berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang berkaitan sejak 2001 sehingga kini.

Daripada jumlah tersebut, 1,119 orang terlibat secara langsung dalam industri kraftangan, 978 dalam sektor awam dan swasta dan 175 lagi graduan melanjutkan pengajian ke peringkat diploma, ijazah dan sarjana sama ada di IKN atau Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). 

Pengerusi Lembaga Pengarah Kraftangan Malaysia, Rubiah Wang berkata, angka tersebut berjaya membuktikan graduan IKN mampu pergi lebih jauh, sekali gus menepis tanggapan salah masyarakat terhadap bidang berkenaan.

“Graduan IKN telah berjaya meneruskan kerjaya dalam pelbagai bidang antaranya usahawan kraf, pereka produk industri, pereka fesyen dan tekstil, pensyarah dan pelbagai bidang lagi.

“Ini membuktikan industri ini sebenarnya mampu berkembang lebih baik dan membantu menjana pendapatan sama ada kepada diri sendiri mahupun negara,” katanya ketika menghadiri Istiadat Konvokesyen IKN kali ke-19 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, kelmarin.

RUBIAH WANG

Sebanyak 165 graduan menamatkan Pengajian Seni Kraf di peringkat diploma, sijil, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja. 

Dalam pada itu, Rubiah berkata, persepsi industri kraf sekarang telah berubah, ia bukan soal memartabatkan warisan sahaja tapi boleh menjana pendapatan dan memperkasakan sosioekonomi masyarakat di luar bandar. 

“Kita menyediakan kepakaran daripada segi teknikal dan pendidikan untuk memastikan produk kraf di luar bandar dapat dikomersial dan dikembangkan sekali gus melahirkan usahawan kraf yang berjaya.

“Setakat dua tahun iaitu 2020 dan 2021, sebanyak  25,000 usahawan komuniti kraf dilahirkan dalam bidang ini. Jadi, ia adalah satu petanda baik bahawa sektor kraf tangan boleh menjana pendapatan, dalam masa yang sama kita ada satu institut yang boleh memperkasakan pengetahuan serta pendidikan dalam bidang yang mereka lakukan,” ujarnya.

Rubiah berkata, sebelum pandemik Covid-19, industri kraf memberikan pendapatan kepada negara sebanyak RM500 juta setahun dan tahun ini pihaknya menyasarkan kira-kira RM300 juta dengan pemasaran turut dilakukan secara dalam talian dengan menggunakan platform seperti kumpulan Facebook E-KrafBazar dan MYCRAFTSHOPPE.

Mengulas bidang kraf tangan baharu di IKN, Rubiah berkata, pembukaan Kampus Satelit IKN di Sabah dan Sarawak akan memberi fokus kepada kemahiran bidang Songket Dastar, Tenunan Pua dan Rotan bagi mengembangkan sektor terbabit pada masa akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya