KKM teliti pelbagai keadah tingkat jumlah jururawat

KKM teliti pelbagai keadah tingkat jumlah jururawat

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib pada Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2026 dan Seminar Kejururawatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti pelbagai kaedah bagi meningkatkan jumlah jururawat di negara ini termasuk melalui institusi latihan milik kementerian dan sektor swasta.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, usaha itu penting bagi memastikan keperluan sistem kesihatan negara dapat dipenuhi khususnya dalam mendepani cabaran masyarakat menua.

Menurutnya, kementerian turut menggalakkan jururawat mengikuti latihan penjagaan khusus bagi meningkatkan kemahiran dalam mengendalikan golongan warga emas.

“KKM sedang mencari jalan untuk meningkatkan jumlah jururawat sama ada melalui institusi latihan milik kita sendiri atau sektor swasta. Malah, kita juga cuba memastikan bahawa dengan peningkatan masyarakat menua, jururawat digalakkan menjalani latihan penjagaan khusus,” katanya.

Hanifah Hajar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa 2026 dan Seminar Kejururawatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Sambutan tersebut mengumpulkan 2,200 jururawat dari seluruh negara yang terdiri daripada jururawat KKM, hospital universiti, hospital swasta, institusi pendidikan kejururawatan serta agensi kesihatan lain sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan profesion kejururawatan dalam memperkukuh sistem
penjagaan kesihatan negara.

Tema Sambutan Hari Jururawat Sedunia tahun ini, “Our Nurses, Our Future: Empowered Nurses Save Lives” menekankan bahawa pelaburan terhadap pendidikan, kebajikan serta autonomi profesional jururawat merupakan pelaburan strategik bagi menjamin masa depan sistem kesihatan negara yang mampan dan berdaya tahan.

Mengulas lanjut, Hanifah Hajar berkata, kementerian juga memberi penekanan terhadap pendedahan awal kepada jururawat mengenai penjagaan khusus ketika menjalani latihan.

Jelasnya, langkah itu penting agar mereka lebih bersedia dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan masyarakat menua pada masa hadapan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN