Pesara polis ditahan miliki pil ekstasi

Pesara polis ditahan miliki pil ekstasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang wanita yang juga pesara ditahan semalam selepas didapati memiliki pil disyaki dadah jenis ekstasi .

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu, suspek berusia 65 tahun yang memandu sebuah kereta sedan dipercayai enggan memberhentikan kenderaan selepas diarahkan anggota polis.

Menurut beliau, wanita itu berjaya ditahan selepas dikejar polis sejauh kira-kira 30 kilometer dari daerah ini hingga ke Bukit Beruang, Melaka.

“Sebelum itu pihak polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta yang dipercayai melanggar beberapa kenderaan di Taman Sedia Raja, Chembong sebelum kereta itu melarikan diri.

“Anggota kenderaan peronda polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau yang menjalankan rondaan kemudian terserempak dengan kereta dipandu suspek sebelum cuba menahannya.

“Suspek enggan memberi kerjasama sehingga menyebabkan berlaku aksi kejar-mengejar sebelum kenderaan itu berjaya ditahan di Bukit Beruang,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan satu beg mengandungi empat biji pil disyaki dadah jenis ekstasi. Hasil ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis amfetamin.

Beliau berkata, siasatan lanjut turut mendapati suspek dipercayai terlibat dalam dua kemalangan jalan raya di daerah ini membabitkan sebuah van dan kereta.

Suspek kini ditahan di IPD Melaka Tengah dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Kaedah 10 LN 166/59. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN