Kedudukan Malaysia dalam makroekonomi masih stabil

Kedudukan Malaysia dalam makroekonomi masih stabil

AKMAL NASRULLAH MOHD. NASIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan Malaysia dari segi makroekonomi masih stabil di saat dunia terus menghadapi ketidaktentuan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus untuk 7 Mei, sementara inflasi keseluruhan dan teras pula masing-masing mencatat purata 1.6 peratus serta 2.1 peratus pada suku pertama 2026.

Beliau berkata, anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2026 menunjukkan pertumbuhan 5.3 peratus.

“Angka ini memberi isyarat bahawa ekonomi negara masih berada pada landasan pertumbuhan yang baik, dengan tekanan harga yang masih terkawal,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian, hari ini.

Beliau berkata, pasaran ekuiti tempatan turut mengekalkan momentum positif sepanjang minggu pelaporan 4 hingga 8 Mei lalu.

Katanya, FBM KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) ditutup pada paras 1,748.06 mata pada 8 Mei 2026, meningkat 2.1 peratus berbanding 1,722.02 mata pada minggu sebelumnya.

“Dalam keadaan rantaian bekalan global yang masih tidak menentu, prestasi ini menunjukkan pasaran domestik masih disokong oleh sentimen pelaburan yang baik dan keyakinan terhadap asas ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Akmal berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini menerima maklum balas dan kemaskini berkaitan situasi semasa krisis.

Beliau berkata, perkembangan semasa menunjukkan bahawa persekitaran ekonomi global masih tidak menentu dan risiko geopolitik yang berpanjangan terus memberi tekanan kepada pasaran tenaga, harga komoditi, kos logistik serta kelancaran rantaian bekalan dunia.

“Bagi sebuah ekonomi terbuka seperti Malaysia, perkembangan ini perlu dipantau secara dekat kerana kesannya boleh bergerak secara berperingkat kepada kos pengeluaran, harga barangan, operasi perniagaan dan akhirnya kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, harga minyak mentah Brent spot menunjukkan sedikit penurunan pada minggu pertama Mei di peringkat global.

Jelasnya, purata harga Brent menurun 8.5 peratus kepada AS$108.40 setong bagi tempoh 5 hingga 8 Mei lalu berbanding AS$118.50 setong pada minggu sebelumnya.
“Namun, paras ini masih jauh lebih tinggi berbanding sekitar AS$68.84 setong sebelum krisis tenaga global tercetus pada 26 Februari lalu.

“Selaras dengan perkembangan tersebut, purata harga gas asli cecair (LNG) turut menurun 1.5 peratus bagi tempoh 4 hingga 8 Mei lalu, daripada AS$17.67/MMBtu kepada AS$17.41/MMBtu.

“Harga arang batu pula kekal hampir tidak berubah, meningkat marginal 0.1 peratus daripada AS$133.03 kepada AS$133.19 satu tan metrik,” katanya.

Tambahnya, perkembangan itu menunjukkan pasaran tenaga global ada menunjukkan sedikit kestabilan tetapi masih perlu dipantau kerana sebarang gangguan baharu boleh memberi kesan kepada kos tenaga dan pengeluaran. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN