PETALING JAYA: Elaun Pasca Cuti Bersalin (EPCB) merupakan instrumen ekonomi mampan yang mampu memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui penyertaan berterusan wanita dalam pasaran kerja.
Pertubuhan SALWA Malaysia (SALWA) berkata, inisiatif itu bukan sekadar bantuan fiskal jangka pendek, sebaliknya pengiktirafan strategik terhadap peranan wanita sebagai pemacu ekonomi negara dan tunjang institusi kekeluargaan.
Katanya, langkah tersebut merupakan anjakan paradigma dalam memastikan ekosistem pekerjaan di Malaysia lebih inklusif dan manusiawi.
“Fasa pasca-bersalin merupakan tempoh kritikal yang menentukan kestabilan emosi ibu, dengan statistik global menunjukkan sekitar 10 hingga 15 peratus wanita berisiko mengalami kemurungan jika tidak mendapat sokongan mencukupi.
“Justeru, inisiatif ini bertindak sebagai penampan psikologi yang mengurangkan kebimbangan kewangan, sekali gus membantu ibu kembali bertugas dengan kestabilan mental yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
SALWA berkata, inisiatif itu juga berupaya meningkatkan motivasi serta kesetiaan pekerja wanita, sekali gus membolehkan organisasi mengekalkan tenaga kerja berpengalaman tanpa kehilangan bakat mahir akibat tekanan domestik.
Katanya, sokongan kewangan berkenaan memberi ruang kepada ibu untuk mengamalkan penyusuan eksklusif seperti disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang penting dalam tempoh enam bulan pertama.
“Keadaan itu secara tidak langsung membantu mengurangkan keperluan cuti kecemasan pada masa hadapan, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi lebih efisien melalui pengurangan kos kesihatan awam.
“Inisiatif tersebut juga berperanan merapatkan jurang gender serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi apabila wanita terus kekal dalam pasaran kerja.
“Inisiatif ini membuktikan kerajaan tidak hanya melihat wanita sebagai subjek kebajikan, tetapi sebagai rakan kongsi ekonomi yang berwibawa,” katanya.
Selain itu, SALWA berpandangan langkah tersebut mampu menjadi penanda aras baharu kepada sektor swasta dalam memperkukuh polisi mesra keluarga dan mewujudkan budaya kerja lebih empati serta fleksibel.
Katanya, produktiviti seharusnya dinilai berdasarkan hasil dan kualiti kerja, bukan sekadar kehadiran fizikal.
“EPCB merupakan pelaburan sosial yang bijaksana serta manifestasi falsafah MADANI yang menekankan nilai ihsan dan kemanusiaan dalam pembangunan negara.
“Pertubuhan ini akan terus komited menyokong usaha kerajaan dalam mengangkat martabat wanita Malaysia demi kesejahteraan negara,” katanya.
Media semalam melaporkan, kerajaan secara prinsip bersetuju untuk memperkenalkan EPCB pada kadar 80 peratus daripada gaji anggapan bulanan Orang Berinsurans (OB) wanita yang akan dibayar secara sekali beri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu akan membabitkan pindaan kepada Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 dijangka memberi manfaat kepada lebih 132,000 pekerja wanita. – UTUSAN










