PETALING JAYA: Orang ramai diingatkan tidak menunggu saat akhir untuk menjelaskan saman trafik yang tertunggak susulan tempoh tawaran diskaun saman 80 peratus dipanjangkan sehingga 31 Disember ini.
Peringatan itu diberikan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mat Kasim Karim selepas pihaknya mendapati kaunter-kaunter pembayaran mula lengang sejak semalam.
Kata beliau, pengumuman tempoh bayaran sehingga hujung tahun oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani Ahad lalu memberi kesan mendadak kepada masyarakat untuk tidak berpusu-pusu ke pejabat trafik membayar saman.
“Jangan tunggu saat akhir bayaran untuk menjelaskan saman tertunggak kerana tawaran ini sangat membantu masyarakat sepertimana yang telah tersebar dalam media sosial dan ramai berpuas hati.
“Semua masyarakat perlu sama-sama ambil kesempatan ini memandangkan berdasarkan rekod JSPT, masih banyak saman yang belum dilunaskan sama ada individu, korporat dan kenderaan awam sejak 1995,” katanya di sini semalam.
Ditanya angka sebenar saman yang belum dijelaskan, Mat Kassim berkata, jumlah tersebut masih tinggi.
Bagaimanapun, kata beliau, jumlah itu tidak termasuk saman lapuk bagi individu yang meninggal dunia.
“Bagi saman individu yang meninggal dunia kita tak kira dan anggap sama seperti bank. Malah, tiada waris yang kita ambil tindakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, jelas Mat Kassim, pembayaran saman bukan sahaja boleh dilakukan di kaunter-kaunter trafik di ibu pejabat polis daerah (IPD) dan ibu pejabat polis kontinjen (IPK) tetapi banyak saluran lain boleh digunakan seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di mana-mana MayBank atau pejabat pos.
Terdahulu, PDRM melanjutkan tempoh tawaran pengurangan kadar kompaun saman 80 peratus sehingga 31 Disember ini sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia. – UTUSAN ONLINE










