Henti mengagungkan bahasa Inggeris - Utusan Malaysia

Henti mengagungkan bahasa Inggeris

TEO KOK SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masyarakat perlu berhenti mengagungkan bahasa Inggeris yang tidak kena pada tempat dan mengutamakan bahasa tersebut berbanding jati diri bagi mengekalkan martabat bahasa kebangsaan.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, perleluasan penggunaan bahasa Inggeris di dalam kehidupan harian mahupun acara rasmi berpunca daripada permikiran dan tingkah laku.

Menurut beliau, jika masyarakat memiliki sikap positif terhadap bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan, dirinya pasti penggunaan bahasa asing tersebut yang meluas tidak akan berlaku kerana jati diri akan menjadi tinggi.

“Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris mempunyai kuasa, prestij dan glamor yang jauh lebih tinggi daripada bahasa Melayu, namun kalau kita memiliki sikap positif terhadap bahasa negara kita, saya pasti bahasa kebangsaan akan meluas.

“Disebabkan kekuatan hati dan kekentalan jiwa kita tidak kuat malah rendah dari segi jati diri, maka sikap kita juga didapati akan menjadi negatif walaupun terhadap bahasa sendiri kerana lebih mementingkan bahasa lain,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim menyuarakan pendapatnya mengenai sikap masyarakat gila dengan ayunan bahasa Inggeris sehinggakan mengabai bahasa kebangsaan.

Kok Seong berkata, terdapat negara luar yang turut diasak oleh bahasa dunia yang dominan itu tetapi negara tersebut masih tidak meninggalkan warisan mereka disebabkan mempunyai sikap dan jati diri yang tinggi.

“Perkara sedemikian didapati tidak berlaku di Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan Indonesia walaupun warisan mereka turut ditekan oleh bahasa Inggeris tetapi masih mampu mengekalkan warisan bahasa mereka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, kerajaan perlu memainkan peranan dalam menggunakan bahasa kebangsaan dalam acara rasmi kerana mereka adalah ikon masyarakat.

“Penggunaan bahasa Inggeris bukan sahaja berleluasa di dalam kehidupan masyarakat tetapi kerajaan juga. Pelbagai urusan rasmi diambil alih satu per satu oleh bahasa dunia itu sehinggakan bahasa kebangsaan luntur.

“Bahasa Melayu seakan-akan hilang identitinya di tanah sendiri apabila penghuni negara lebih fasih bercakap menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Tindakan itu adalah perbuatan yang tidak menghormati bahasa kebangsaan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya