Belanda belum capai tahap sebenar

Belanda belum capai tahap sebenar

PENGENDALI Belanda, Ronald Koeman (kanan) bersalaman dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Hajime Moriyasu sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 2-2 di Stadium Dallas, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARLINGTON, Texas: Ketua jurulatih Belanda, Ronald Koeman menegaskan prestasi dipamerkan pasukannya ketika seri 2-2 menentang Jepun dalam aksi pembukaan Kumpulan F Piala Dunia harus dijadikan standard minimum jika mereka mahu muncul juara dunia buat kali pertama.

Belanda dua kali berada di hadapan, namun gagal mempertahankan kelebihan apabila Jepun bangkit menyamakan kedudukan di hadapan 69,285 penyokong di Stadium AT&T, semalam.

Virgil van Dijk membuka tirai jaringan buat Oranje pada minit ke-51 menerusi tandukan sebelum Keito Nakamura menyamakan kedudukan enam minit kemudian.

Crysencio Summerville sekali lagi meletakkan Belanda di hadapan menerusi jaringan menarik pada minit ke-64, namun Daichi Kamada muncul penyelamat Jepun apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-88.

Koeman berkata, walaupun kecewa gagal meraih tiga mata penuh, dia melihat banyak perkembangan positif yang boleh dijadikan asas untuk memperbaiki prestasi pasukan sepanjang kejohanan.

“Ini adalah standard minimum kami. Kami perlu terus berkembang sepanjang kejohanan ini.

“Sudah tentu kami mahu memenangi perlawanan pertama dan kami menjangkakannya kerana mendahului dua kali namun, keputusan seri ini tidak bermakna prestasi kami tidak memuaskan.

“Terdapat banyak perkara positif yang boleh diambil dan kami perlu terus meningkat,” katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Koeman membuat lima pertukaran termasuk tiga serentak ketika rehat hidrasi babak kedua apabila Summerville, Donyell Malen dan Tijjani Reijnders dikeluarkan bagi memberi laluan kepada Memphis Depay, Quinten Timber serta Teun Koopmeiners.

Mengulas keputusan tersebut, Koeman menegaskan dia tidak menyesal dengan pertukaran yang dilakukan meskipun pasukannya akhirnya melepaskan kelebihan.

“Saya tidak fikir kami menyerahkan penguasaan permainan kepada Jepun. Mereka mula bermain dengan cara yang berbeza selepas ketinggalan.

“Pada separuh masa pertama mereka tidak dapat memberikan tekanan tinggi kepada kami, mungkin kerana terlalu menghormati atau bimbang dengan kekuatan kami.

“Namun selepas kami menjaringkan gol pertama, barisan pertahanan mula menghadapi kesukaran, terutama di bahagian sayap. Kedua-dua gol yang kami bolos berpunca daripada kelemahan kami sendiri dalam bertahan,” katanya.

Koeman turut mengingatkan bahawa Jepun bukan pasukan yang boleh dipandang rendah meskipun ramai pemerhati meragui kemampuan mereka sebelum kejohanan bermula.

“Ramai yang memandang rendah Jepun. Saya sudah berkali-kali mengatakan bahawa sesiapa yang meremehkan mereka akan berdepan masalah.

“Kita tunggu sehingga penghujung Piala Dunia untuk melihat sejauh mana kemampuan sebenar mereka,” katanya.

Belanda akan berdepan Sweden dalam aksi kedua Kumpulan F, manakala Jepun dijadual menentang Tunisia dengan kedua-dua aksi tersebut diadakan pada 20 Jun ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN