Hakim tegur peguam gagal pastikan kepulangan Rosmah dari Singapura - Utusan Malaysia

Hakim tegur peguam gagal pastikan kepulangan Rosmah dari Singapura

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor diminta menjelaskan tindakan isteri bekas Perdana Menteri  itu yang didapati melanggar perintah Mahkamah Tinggi di sini berhubung perjalanan ke Singapura melawat anak perempuannya yang baru melahirkan bayi kedua di negara itu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut menegur pihak pembelaan kerana gagal memastikan kepulangan Rosmah ke tanahair sebelum 21 November lalu dan sepatutnya memulangkan pasport sebelum atau pada 6 Disember.

Pada 15 Oktober lalu, beliau memerintahkan dokumen perjalanan Rosmah yang berada dalam simpanan mahkamah selaras dengan prosedur jaminan sejak 2018, dipulangkan sementara bagi membolehkan beliau ke negara jiran melawat anak perempuannya, Nooryana Najwa Mohd. Najib yang bersalin anak kedua.

Hakim Mohamed Zaini kemudian menarik perhatian mahkamah bahawa kegagalan Rosmah kembali ke negara ini hanya diketahuinya melalui pihak media yang melaporkan satu prosiding di Mahkamah Rayuan, dua hari lalu.

Peguam Datuk Jagjit Singh memohon maaf kepada hakim berkenaan dengan memberi alasan pihaknya perlu mengambil kira tempoh kuarantin berikutan perubahan dasar kerajaan berhubung peraturan kuarantin mengikut Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) di antara Malaysia dan Singapura.

Namun demikian, Hakim Mohamed Zaini menasihati peguam itu agar mematuhi perintah kerana sebarang perubahan dasar kerajaan tidak akan mengubah arahan mahkamah.

“Saya tidak keberatan memberi lanjutan masa, namun perintah mahkamah perlu dihormati pada setiap masa,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, pihaknya menimbulkan isu yang sama di Mahkamah Rayuan ketika pendengaran prosiding rayuan Rosmah untuk melucutkan kelayakan beliau daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Minggu lalu, Mahkamah Rayuan melaksanakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah selepas beliau tidak hadir pada prosiding berkenaan.

Terdahulu, Hakim Mohamed Zaini menangguhkan perbicaraan kes rasuah Rosmah, 69, sehingga Jumaat ini selepas status MySejahteranya berwarna jingga yang menunjukkan beliau mempunyai kontak dengan Covid-19.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya