Lelaki miliki 20 rekod jenayah ditahan kes ragut rantai emas RM14,000 - Utusan Malaysia

Lelaki miliki 20 rekod jenayah ditahan kes ragut rantai emas RM14,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes ragut rantai emas bernilai kira-kira RM14,000 di Taman Connaught, Cheras dekat sini, bulan lalu.

Suspek berusia pertengahan 30-an itu ditahan di Bandar Kinrara, Puchong dekat sini kira-kira pada 24 Mei lalu hasil maklumat dan risikan yang dijalankan polis.

Ketua Polis Daerah Cheras berkata, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 8 pagi
lalu pada 12 April lalu ketika mangsa bersama isterinya sedang bersarapan di sebuah restoran kopitiam di Taman Connaught.

Menurutnya, semasa pasangan itu berada di bahagian luar restoran, seorang lelaki yang menunggang motosikal dipercayai datang dari arah belakang sebelum meragut rantai leher emas berserta loket milik mangsa.

“Suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian dan mangsa mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM14,000.

“Bertindak atas maklumat yang diperoleh, polis menjalankan serbuan dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek mempunyai 20 rekod jenayah lampau selain empat rekod berkaitan kesalahan dadah.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan atau ragut.

“Bagaimanapun, permohonan reman terhadap suspek telah ditolak dan lelaki itu dilepaskan dengan jaminan polis.
“Kertas siasatan kes telah dilengkapkan dan akan dirujuk untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN