JERANTUT: Keluarga seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang sejak 14 Mei lalu masih buntu setelah pelbagai usaha dilakukan untuk mengesan keberadaannya sehingga kini tidak ada sebarang petunjuk.
Ibu remaja berkenaan, Miss Romoh Chehmae, 37, berkata, anaknya, Ainul Maisarah Abu Bakar, masih tidak dapat dihubungi dan dipercayai menyekat semua nombor telefon ahli keluarga.
“Sebelum ini, kami mendapat tahu Ainul Maisarah mungkin berada di rumah seorang kenalan wanita berusia lingkungan 30-an di Kampung Orang Asli Pasu, Kuala Krau namun pencarian yang dilakukan di lokasi berkenaan tidak berhasil.
“Saya dan suami baru pulang dari sana, tetapi anak saya tiada di situ. Kawan baiknya yang dikatakan rapat dengannya juga tidak berada di rumah berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Miss Romoh, dia mendapat tahu anaknya berkawan rapat dengan seorang wanita berusia kira-kira 30 tahun sebulan lalu malah sebelum ini sering datang ke rumah dan membawanya keluar.
“Saya tidaklah menyangka apa-apa dia berkawan dengan wanita berkenaan kerana menganggap sekadar hubungan persahabatan biasa,” katanya.
Ceritanya, pada hari kehilangan anaknya 14 Mei lalu, Ainul Maisarah keluar ke sekolah seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku yang mencurigakan.
Beliau merayu orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan Ainul Masyarah supaya tampil membantu dengan menghubungi balai polis berhampiran. – UTUSAN










