PETALING JAYA: Meskipun hilang keupayaan sebelah tangan, kekurangan tersebut tidak pernah mematahkan semangat Siti Nur Azizah Syafriadi untuk berdikari dengan berniaga dalam talian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, remaja berusia 17 tahun itu memberitahu, dia mula berniaga setahun lalu dan kini semakin rancak dengan promosi baju-baju sukan yang ditawarkan melalui media sosial.
Malah, gadis berkenaan menyimpan cita-cita untuk membuka kedai dengan memperbanyakkan lagi produk jualan seperti barangan kosmetik, tudung dan kesihatan.
“Apa yang berlaku tidak mematahkan semangat saya, hidup perlu diteruskan.
“Saya fikir ada yang nasib mereka lebih teruk, mungkin yang hilang kedua-dua belah kaki,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Dalam pada itu, Siti Nur Azizah masih tidak dapat mengingati kejadian sebenar yang menimpanya pada 25 Ogos lalu sehingga menyebabkan tangan kanannya dari paras bahu terpaksa dipotong.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Assisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi berkata, usaha mengesan suspek masih dijalankan namun sehingga kini tiada maklumat terbaharu.
Jelasnya, rakaman litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian tidak jelas malah motosikal yang disamun tidak dapat ditemukan.
Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Siti Nur Azizah bersama teman lelakinya menaiki motosikal cedera selepas dipercayai diserang serta disamun tiga lelaki di Jalan Kuching menghala ke Jinjang dalam kejadian pukul 12.15 tengah malam.
Akibat kejadian itu, Siti Nur Azizah cedera parah sehingga terpaksa dipotong tangannya manakala teman lelakinya menerima rawatan pesakit luar.










