JOHOR BAHRU: Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim bakal melakar sejarah dengan membuat penampilan pertama dalam perlumbaan 24 Jam Le Mans di litar De La Sarthe, Paris, Perancis bersama pasukan Johor Motorsports Racing (JMR).
Tunku Abdul Rahman akan berganding dengan Ben Green dan Lorcan Hanafin bagi menghadapi perlumbaan di litar sepanjang 13.6 kilometer dengan kelajuan yang boleh mencecah sehingga 320 kilometer sejam.
Tunku Abdul Rahman menerusi laman Instagram menzahirkan kesyukuran kerana dapat merealisasikan cita-cita yang telah lama diimpikan iaitu untuk beraksi di perlumbaan Le Mans.
“Sejak saya mula berlumba lapan tahun lalu, penampilan di Le Mans telah menjadi sasaran utama. Saya bersyukur atas perjalanan yang ditempuhi, pengorbanan dan pengajaran dilalui serta semua pihak termasuk pasukan, rakan kongsi, dan keluarga yang telah memberi bimbingan, kepercayaan serta sokongan.
“Kita akan memberikan yang terbaik dalam setiap pusingan,” kata Tunku Abdul Rahman.
Penampilan JMR di perlumbaan ketahanan yang paling ikonik itu adalah dengan kerjasama TF Sport, dengan jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R.-UTUSAN










