KUALA LUMPUR: Pelakon dan model, Zahnita Wilson bakal melangsungkan perkahwinan dengan lelaki pilihannya pada 26 September ini.
Menurut Zahnita, lelaki berkenaan yang bekerja dalam bidang kewangan dibesarkan dalam kejiranan sama dan tempoh perkenalan mereka tidak terlalu lama.
“Dia merupakan duda tanpa anak berusia 46 tahun. Insya-Allah kami akan bernikah pada 26 September depan ini.
“Dia lelaki yang baik. Susah untuk saya menolak.
“Dia melamar tidak lama selepas kami berkenalan iaitu pada bulan April, tidak lama selepas itu dia mengajak saya berkahwin,” katanya.
Zahnita memaklumkan dia selesa dengan lelaki bernama Farouk itu dan mereka membuat keputusan bernikah untuk menghalalkan hubungan.
“Kami serasi, dia menyatakan hasratnya untuk menjaga saya dan membahagiakan saya. Jadi, saya menerima lamarannya,” ujarnya.
“Saya tidak pernah terfikir akan kembali bergelar isteri tahun ini atau tahun-tahun selepas ini.
“Namun saya ada terfikir tentangnya. Dan ianya (berkahwin) bukanlah perkara yang tak elok untuk kami teruskan,” kongsinya.
Dalam pada itu, Zahnita memaklumkan bakal melangsungkan perkahwinan secara sedernana di sebuah masjid di ibu negara.
“ Ia hanya majlis pernikahan kecil-kecilan yang dibuat di masjid. Tak perlu rasanya untuk buat secara besar-besaran kerana masing-masing sudah berusia.
“Kami mahukan majlis sedehana yang dihadiri keluarga dan rakan terdekat,” katanya.










