Konsert skala besar atau kecil, saya tetap beri persembahan terbaik - Aizat Amdan - Utusan Malaysia

Konsert skala besar atau kecil, saya tetap beri persembahan terbaik – Aizat Amdan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aizat Amdan mengakui dirinya lebih selesa membuat persembahan berskala kecil seperti showcase biarpun sudah 18 tahun berpengalaman dalam industri muzik tanah air.

Kata Aizat, dia tidak memerlukan iringan muzik yang gah ataupun ruangan yang besar untuk menghiburkan peminat setia, cukup sekadar bernyanyi secara santai sambil memetik gitar akustiknya.

“Saya sangat gembira setiap kali dapat membuat persembahan secara akustik di mana itu adalah kelebihan saya. Ruangan pentas yang kecil juga pada saya sudah cukup untuk saya sebagai penyanyi dan penulis lirik buat persembahan di hadapan peminat.

“Pada saya itu lebih intim. Saya juga tidak perlu berfikir tentang sistem bunyi atau pemain muzik di belakang. Cukup saya menyanyi dan bermain gitar. Itulah yang buat saya lebih yakin,” katanya.

Aizat berkata demikian ketika ditemui di sidang media Siri Spotlight KLCC yang bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre, baru-baru ini.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Hanya Engkau Yang Mampu itu mengakui dirinya tidak pernah berasa tergugat melihat beberapa artis baharu berlumba-lumba membuat konsert berskala besar.

Malah, dia menyifatkan konsert berskala kecil lebih mudah untuk mewujudkan kejujuran dan penghayatan dalam sesebuah persembahan.

“Pada saya, peminat akan lebih mudah untuk rasa kejujuran dalam persembahan saya walaupun di pentas kecil. Sebelum ini saya tidak yakin apabila membuat persembahan di pentas berskala besar.

“Kalau orang yang mengenali saya, jika penonton yang hadir itu seorang sahaja pun saya akan buat persembahan dengan baik. Pentas itu ibarat tempat tinggal saya.

“Sekiranya konsert itu berskala besar atau kecil sekali pun saya tetap berikan yang terbaik. Bagi saya itulah kepuasannya,” jelasnya.

Mengulas mengenai Siri Spotlight KLCC, Aizat bakal membuat konsert di pentas berprestij di Plenary Theatre KLCC, pada 22 Ogos ini.

Selain Aizat, Siri Pertama Spotlight KLCC itu juga dibarisi penyanyi hebat tanah air seperti Noryn Aziz, Imran Ajmain, Imran Troye, SOG dan Orked Farhan dalam sesi yang berlainan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN