KOTA BHARU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengadakan rundingan kerjasama dengan beberapa parti politik sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang akan berlangsung pada Julai serta Ogos ini.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia bertujuan mengelakkan pertembungan sesama parti yang memperjuang agenda Melayu.
“Kita sudah berbincang dengan tiga parti dan ada lagi yang belum kita jumpa. Ada yang bertindih dan perkara itu perlu diselesaikan melalui rundingan.
“Setakat ini maklum balas yang diterima agak positif kerana ada pihak yang tidak menolak cadangan kerjasama secara terus dan bersedia mempertimbangkannya,” katanya selepas Majlis Perasmian Cawangan berkelompok Parlimen Ketereh dan Pasir Puteh serta Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Cawangan di Kampung Setek, di sini hari ini.
Mukhriz berkata, Pejuang berminat meletakkan calon pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, namun bertanding secara terhad mengikut kemampuan parti.
Katanya, pendekatan tersebut membolehkan parti membuat persiapan lebih tersusun tanpa meletakkan sasaran kerusi yang besar untuk bertanding
“Kita ukur baju di badan sendiri. Kita tidak bercadang bertanding banyak kerusi dan sebab itu persiapan yang diperlukan juga lebih mudah untuk diuruskan dalam tempoh singkat. Kita mahu supaya undi Melayu tidak berpecah. Jadi, kita akan lihat parti dan calon yang paling sesuai mendapat sokongan pengundi di sesuatu kawasan tertentu,”katanya.
Sementara itu, Mukhriz menyifatkan pertambahan cawangan baharu Pejuang di Kelantan sebagai petanda positif bahawa parti itu masih mendapat kepercayaan rakyat meskipun berdepan persaingan daripada pelbagai parti politik lain. – UTUSAN










