Himpunan Gegar Tiktok akan diteruskan jika akaun pengguna diseka

Himpunan Gegar Tiktok akan diteruskan jika akaun pengguna disekat

Himpunan Gegar Tiktok di hadapan pejabat TikTok Malaysia, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penganjuran Himpunan Gegar TikTok akan diteruskan sekiranya dakwaan sekatan terhadap akaun dan kandungan pengguna di platform TikTok terus berlaku.

Aktivis, Na’im Brundage berkata, himpunan itu hanyalah permulaan dan pihaknya akan terus memberi tekanan melalui saluran aman sekiranya dakwaan sekatan terhadap akaun yang mengkritik kerajaan masih berterusan.

“Ini hanyalah satu permulaan. Jika TikTok Malaysia dan kerajaan Malaysia tidak berhenti menyekat akaun serta kandungan yang mengkritik mereka, kami akan mengadakan lebih banyak lagi himpunan seperti ini,” katanya dalam sidang media sejurus himpunan selesai di hadapan pejabat TikTok Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, aktivis kontroversi, Rafidah Ibrahim berkata, himpunan berkenaan bukan bertujuan mencetuskan kekecohan sebaliknya bagi menyampaikan suara pengguna yang mendakwa kandungan dan akaun media sosial mereka disekat.

“Himpunan hari ini bukan bermaksud kami hendak membuat rusuhan atau mencetuskan kekecohan.

“Kami datang membawa suara rakyat Malaysia yang mendakwa akaun dan kandungan mereka disekat. Suara rakyat perlu didengari dan kami mahu akaun kami dipulangkan serta tindakan menurunkan kandungan dan akaun dihentikan,” jelasnya.

Terdahulu, sekitar 100 peserta menyertai Himpunan Gegar TikTok yang berlangsung di hadapan ibu pejabat TikTok Malaysia bermula pukul 10 pagi sebelum bersurai secara aman kira-kira dua jam kemudian.

Polis turut ditempatkan di lokasi bagi memantau keadaan dan memastikan ketenteraman awam, dengan anggota dilihat mengawal situasi di sekitar kawasan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN