KANGAR: Penganjuran Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 memperkenalkan identiti, warisan dan potensi Kuala Perlis sebagai destinasi pelancongan pesisir air yang unik, menarik kunjungan dari seluruh dunia.
Justeru, kerajaan negeri berhasrat agar keunikan tersebut bukan sekadar dipelihara sebagai warisan semata-mata sebaliknya diterjemah menjadi produk pelancongan yang mampu menjadi pendapatan kepada rakyat dan negeri.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, program berkenaan juga mampu menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan setempat melalui peningkatan perbelanjaan dalam sektor makanan, minuman, penginapan, kraftangan serta perkhidmatan pelancongan.
Katanya, pesta berkenaan bukan sekadar acara hiburan atau pertandingan sukan air semata-mata namun menjadi platform memperkenalkan identiti, warisan dan potensi Kuala Perlis.

“Kuala Perlis mempunyai kekuatan tersendiri. Di sini kita dapat melihat kehidupan masyarakat nelayan, warisan perahu tradisional, budaya masyarakat pesisir, makanan laut, gastronomi tempatan serta keindahan muara dan perairan.
“Semua elemen tersebut adalah aset yang tidak boleh dicipta semula di tempat lain,” katanya pada majlis perasmian Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2026 di Dataran Kampung Wai, di sini malam tadi.
Perasmian disempurnakan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
Majlis perasmian tersebut berlangsung penuh meriah dengan lintas hormat Perahu Diraja Jarum Emas Putra Jamalullail, perarakan perahu berhias, pertunjukan simfoni air, persembahan kebudayaan dan artis jemputan, Misha Omar.
Penganjuran acara tahunan yang memasuki edisi ketiga pada tahun ini bakal berlangsung secara dua peringkat di mana fasa pertama bermula dari 4 hingga 6 September dan fasa kedua pada 18 hingga 20 September.
Abu Bakar berkata, penganjuran pesta itu juga merupakan satu usaha bagi memastikan warisan negeri ini terus hidup dan diwarisi generasi muda.
“Perahu tradisional, kemahiran mendayung, kehidupan masyarakat pesisir serta budaya yang lahir daripada hubungan manusia dengan laut merupakan sebahagian daripada sejarah dan identiti negeri kita. Kita tidak mahu warisan ini hanya tinggal catatan sejarah, sebaliknya kita mahu anak-anak muda mengenalinya, menyertainya dan berbangga dengannya.
“Sebab itu, elemen tradisional dalam pesta air ini perlu terus diperkasa dan dalam masa sama, ia harus diberikan nafas baharu supaya mampu diterima generasi masa kini,” katanya.-UTUSAN










