MOTAC perlu audit, beri penjelasan kos program Rain Rave 2026

MOTAC perlu audit, beri penjelasan kos program Rain Rave 2026

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) digesa memberikan penjelasan terbuka berhubung objektif, kos serta impak sebenar program Rain Rave 2026 yang mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, isu berkenaan bukan sekadar perbezaan pandangan terhadap hiburan, sebaliknya melibatkan aspek integriti pentadbiran, keutamaan dasar awam serta penggunaan sumber negara.

Katanya, MOTAC juga perlu melaksanakan audit menyeluruh terhadap penganjuran termasuk sumber kewangan dan pihak penganjur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“MCW turut mencadangkan penetapan garis panduan lebih ketat bagi acara berskala besar bagi memastikan keselamatan, disiplin serta pematuhan undang-undang.

“Malaysia tidak boleh terus mengamalkan pendekatan ‘event-driven popularity’ tanpa asas strategik. Negara memerlukan dasar pelancongan yang berintegriti, berfokus dan berorientasikan hasil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jais berkata, MCW memandang serius penganjuran program berkenaan yang perlu dinilai daripada sudut nilai tambah kepada negara dan rakyat, khususnya jika melibatkan dana awam secara langsung atau tidak langsung.

Beliau berkata, penganjuran acara berskala besar perlu mengambil kira keadaan semasa negara yang berdepan cabaran ekonomi serta isu sumber termasuk air bagi mengelakkan pembaziran.

Katanya, sebarang penggunaan sumber secara besar-besaran tanpa justifikasi kukuh mencerminkan kelemahan dalam perancangan dasar.

“MCW turut melihat wujudnya jurang nilai dalam masyarakat apabila acara seperti itu mencetuskan reaksi bercampur antara hiburan, bantahan moral dan kekeliruan mesej sosial.

“Jika penganjuran ini melibatkan dana awam secara langsung atau tidak langsung, maka ia wajib dinilai dari sudut keberkesanan, impak ekonomi sebenar serta pulangan kepada sektor pelancongan negara,” katanya.

Beliau berkata, program berskala besar tidak wajar sekadar menjadi acara popular jangka pendek tanpa hasil yang boleh diukur.

MCW turut mempersoalkan tahap kawalan dan penguatkuasaan sepanjang acara tersebut susulan rakaman yang tular di media sosial sehingga menimbulkan persoalan mengenai kemungkinan aktiviti tidak sihat termasuk penyalahgunaan bahan terlarang.

“Perkara ini boleh memberi kesan langsung terhadap imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan berintegriti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini