Harga diesel cipta rekod RM24 bagi setiap 3.78 liter di AS - Utusan Malaysia

Harga diesel cipta rekod RM24 bagi setiap 3.78 liter di AS

HARGA diesel naik mendadak akibat perang Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Harga diesel, bahan api penting yang digunakan untuk pengangkutan jalan raya, pertanian dan pembinaan mencecah rekod baharu di Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, menurut persatuan pengguna kenderaan bermotor AAA, susulan gangguan bekalan akibat perang AS dengan Iran.

Harga diesel kini ialah AS$5.85 (RM24) segelen atau 3.78 liter, meningkat daripada AS$3.71 (RM15) segelen pada tahun lalu, menurut AAA.

Minyak mentah merupakan bahan utama dalam penghasilan bahan api kenderaan, dan bekalannya terhad selepas Iran bertindak balas terhadap perang itu dengan secara berkesan menutup Selat Hormuz, laluan air sempit di selatan negara berkenaan yang menjadi laluan kepada kira-kira satu perlima minyak dunia.

Kenaikan mendadak harga di pam telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan pengundi AS menjelang pilihan raya pertengahan penggal yang penting pada November.

Bagaimanapun, tidak semua rakyat Amerika berdepan kenaikan harga pada tahap yang sama. Menurut data AAA, penduduk di negeri-negeri Barat membayar jauh lebih tinggi berbanding penduduk di kawasan lain, disebabkan perbezaan cukai serta jarak dari kawasan pengeluaran minyak di AS.

Sebagai contoh, harga purata diesel di Washington ialah AS$6.81 segelen (RM28), berbanding AS$5.03 segelen (RM20) pada tahun lalu.

Selain harga diesel yang tinggi, rakyat Amerika turut berdepan kos petrol yang berada pada paras tertinggi dalam sejarah, dengan harga purata mencecah AS$4.15 (RM17) segelen, berbanding AS$3.20 (RM13) segelen pada tahun lalu. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×