fbpx

ES-11 Eclimo motosikal elektrik berteknologi nano pertama

DR. ADHAM Baba (empat,kiri) melancarkan motor elektrik ES-11 Eclimo di ibu negara hari ini. .GAMBAR IHSAN MOSTI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan sebuah motosikal berkuasa elektrik, ES-11 Eclimo yang menggunakan pemantauan bateri berstruktur nano yang pertama di negara ini. 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pelancaran motosikal ES-11 pada hari ini membuktikan komitmen kementerian untuk mencapai hasrat sebuah negara neutral karbon menjelang tahun 2050.

Katanya, pihaknya juga percaya pelancaran ES-11 dapat membantu usaha negara bagi menyertai indudustri kenderaan elektrik (EV) yang bernilai berbilion ringgit untuk membantu memulihkan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

“Melalui Rancangan Malaysia Ke-11, MOSTI melalui agensinya NanoMalaysia menyediakan pembiayaan kepada Eclimo sebanyak RM1 juta untuk membangunkan ES-11 yang mempunyai sistem pemantauan bateri berstruktur nano ini.

“Semasa Bajet 2022 juga, kerajaan komited dalam menyokong industri EV dengan mengecualikan duti import, duti eksais dan cukai jualan bagi semua kenderaan EV, malah pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 akan diberikan bagi kos pembelian, pemasangan, penyewaan, kemudahan sewa beli dan bayaran melanggan kemudahan mengecas EV.

“Maka, hari ini MOSTI memperkenalkan ES-11 iaitu motosikal berkuasa elektrik menggunakan sistem pemantauan bateri berstruktur nano yang menjadi satu lagi sejarah penting dalam pencapaian teknologi nano dan kenderaan elektrik di Malaysia. Lebih membanggakan, ES-11 telah direka, dibangunkan dan dihasilkan 100 peratus bakat tempatan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam Majlis Pelancaran Motosikal ES-11 Eclimo di ibu negara hari ini.

ES-11 menggunakan sistem pemantauan bateri berstruktur nano yang memberikan pengguna pemantauan penuh terhadap kesihatan bateri dan memberi amaran terus sekiranya voltan bateri jatuh.

ES-11 turut dimuatkan dengan sistem penjejakan yang boleh dikawal menggunakan aplikasi mudah alih seperti telefon bimbit dan menyediakan sistem mengecas palam tiga pin yang menyelesaikan masalah yang sering dihadapi pengguna EV iaitu kekurangan infrstruktur dan stesen mengecas.

ES-11 menggunakan sel bateri lithium-ion berasaskan teknologi nano yang mempunyai kitaran hayat sebanyak 1000 kali cas dan mampu membuat perjalanan sehingga 100 kilometer dengan kelajuan maksima mencecah 100 kilometer sejam.

ES-11 tersedia dalam tujuh warna iaitu merah, pink, kuning, oren, putih, biru dan hitam serta dipercayai dijual bermula RM10,500 termasuk cukai jualan di pasaran.

Menurut Dr. Adham, MOSTI menerusi NanoMalaysia juga masih dalam perancangan untuk menyediakan ES-11 sebagi mod pengangkutan dalam bandar kepada umum.

“Mod pengangkutan melalui proses sewaan seperti sistem aplikasi Beam dan Tryke yang membolehkan pengguna menyewa skuter menerusi aplikasi.

“MOSTI juga berharap agar lebih banyak syarikat tampil dengan kenderaan yang menggunapakai sistem pemantauan bateri berstruktur nano ini seterusnya memberi manfaat kepada alam sekitar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia, Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, pelancaran ES-11 adalah tepat pada masanya selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan mobiliti hijau dalam RMK-12 dan pengecualian cukai dalam Bajet 2022.

Katanya, pelbagai inisiatif dan langkah strategik oleh MOSTI akan membolehkan NanoMalaysia membantu negara mencapai kedudukan yang berdaya saing dalam industri EV yang bernilai berbilion-bilion dolar dan sentiasa berkembang.

“ES-11 ini dapat mewujudkan rantaian bekalan tempatan yang bernilai tingi selain keupayaan untuk merebut pasaran EV lain yang sedang berkembang seperti Indonesia menerusi matlamat mobiliti elektrik yang jelas.

“Negara jiran kita mempunyai permintaan kenderaan dua roda yang tinggi dan sedang mencari peluang untuk mengguna pakai motosikal elektrik pada kadar yang cepat.

“Oleh itu, Malaysia perlu mengekalkan kelebihan teknologi dan inovasi sekurang-kurangnya dalam kalangan Asean dan memiliki kelebihan pasaran khusus dalam komponen EV bernilai tinggi yang dipertingkatkan dengan nanoteknologi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI