NILAI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjalankan pemantauan berterusan terhadap penyalahgunaan logo halal termasuk penggunaan logo tidak sah pada premis perniagaan.
Pengarah Pengurusan Halal Jakim, Muhyiddin Aziz berkata, pihaknya turut melaksanakan operasi penguatkuasaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Agama Islam Negeri bagi menangani isu berkenaan.
Katanya, walaupun kesedaran industri terhadap kepentingan pensijilan halal semakin meningkat, masih terdapat aduan berkaitan penyalahgunaan logo halal oleh pihak tertentu.
“Dari segi kesedaran dalam kalangan industri, ia semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya melalui permohonan yang kita terima.
“Namun, dari sudut penyalahgunaan, masih ada sedikit sebanyak aduan berkaitan pihak yang menggunakan logo halal tidak sah untuk diletakkan di premis dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas Perasmian Majlis Penutup Festival Produk Halal dan Pelancongan Madani @ USIM 2026 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini.
Muhyidin berkata, Jakim juga pernah menangani isu penggunaan istilah seperti ‘Muslim friendly’, ‘no pork’ dan ‘no lard’ yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada pengguna sekiranya digunakan tanpa pensijilan halal sah.
Katanya, pihak yang mempunyai autoriti dalam pensijilan halal hanyalah Jakim, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).
“Kita telah mengarahkan supaya perkara itu tidak dilakukan kerana pihak berautoriti berkaitan pensijilan halal ialah Jakim, MAIN dan JAIN.
“Sekiranya perkara itu berterusan atau berlaku, kita akan mengambil tindakan bersama KPDN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran Festival Produk Halal dan Pelancongan Madani @ USIM 2026 dilihat mampu meningkatkan kesedaran halal dalam kalangan mahasiswa, masyarakat dan pemain industri melalui pengisian seperti panduan halal, bacaan kitab turath, debat halal serta muzakarah tenaga pengajar dan fasilitator halal. – UTUSAN










