Bahagian Penguat Kuasa KPDN wajar naik taraf jabatan

Bahagian Penguat Kuasa KPDN wajar naik taraf jabatan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dicadang dinaik taraf menjadi sebuah jabatan dalam usaha memperkukuh peranan penguatkuasaan yang semakin mencabar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keperluan itu wajar dipertimbangkan berikutan skop tugas penguat kuasa kini bukan lagi kecil susulan melibatkan pelbagai isu merentasi kementerian.

“Kalau ditanya saya, Bahagian Penguat Kuasa ini dah sampai masa untuk naik satu ‘level’ jadi Jabatan Penguat Kuasa.

“Sebab saya tahu peranannya bukan lagi kecil, isu kepenggunaan, perdagangan domestik sudah jadi rentas Kementerian, bila jadi masalah, akhirnya semua akan cari siapa? Anda semua,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN dan Pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, peningkatan tanggungjawab yang semakin besar perlu disokong dengan kekuatan pasukan setara bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan dapat dipertingkatkan.

“Jadi, bila tugas makin mencabar tanggungjawab makin besar, rasanya kekuatan pasukan kena seiring. Saya harap Jabatan Perkhidmatan Awam dapat perhalusi perkara ini sebaiknya.

“Datuk Armizan Mohd. Ali (Menteri KPDN), bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan bagi dukungan kepada cadangan ini.

“Dan kepada KSU (Ketua Setiausaha) KPDN, segera bincang dengan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam), saya akan sentiasa berada di belakang anda,” katanya.

Ahmad Zahid menambah, tanpa penguatkuasaan berkesan, pelbagai barangan bersubsidi dan keperluan asas rakyat berisiko diseleweng serta dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Tanpa anda, subsidi menjadi barang dagangan, minyak peket disorok dan dimanipulasi selain tepung dan gula diseleweng demi keuntungan.

“Dan tanpa anda, yang rugi bukan kerajaan semata-mata, tetapi rakyat keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN