Op Pantau 2025: KPDN rekod nilai rampasan RM42,878

Op Pantau 2025: KPDN rekod nilai rampasan RM42,878

ARMIZAN Mohd. Ali (kiri) menandatangani plak perasmian Pembukaan Burger King Benoni Drive Thru & Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan Sempena Sambutan Perayaan Sambutan Tahun Baru Cina di Papar, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mencatatkan nilai rampasan sebanyak RM42,878.52 menerusi pelaksanaan Op Pantau pada 2025.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, sebanyak 70,906 pemeriksaan telah dilakukan dan 390 kes di seluruh negara.

Katanya, Op Pantau tahun ini akan memberi tumpuan kepada pemeriksaan dan pemantauan secara lebih bersasar dengan tumpuan terhadap bekalan dan barangan keperluan rakyat.

“Langkah ini memastikan barangan yang dijual mempunyai tanda harga, tidak berlaku pencatutan serta barang kawalan dijual mengikut harga diwartakan kerajaan.

“Ini termasuk barangan yang tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2026,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pembukaan Burger King Benoni Drive Thru & Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan Sempena Sambutan Perayaan Sambutan Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Armizan berkata, pihaknya akan memantau premis perniagaan yang mengadakan jualan murah agar tidak berlaku sebarang iklan mengelirukan pengguna.

“Pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditugaskan di lokasi strategik dan tempat sasaran seperti bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam dan penjualan secara dalam talian bagi melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika,” katanya.

Armizan berkata, mana-mana peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Katanya, antara kesalahan yang dikenakan tindakan adalah kesalahan gagal meletakkan tanda harga, menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN