PETALING JAYA: Kerajaan perlu memperkukuh mekanisme subsidi bersasar dengan lebih ketat selain meningkatkan pemantauan di peringkat pengedaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. T. Saravanan berkata, hal ini bagi mengelakkan ketirisan dan aktiviti penyalahgunaan yang boleh menjejaskan bekalan kepada pengguna sasaran.
Katanya, dalam keadaan ketidaktentuan global, pemantauan rapi amat penting supaya sebarang kenaikan harga dapat disahkan berpunca daripada peningkatan kos sebenar, bukannya disebabkan tindakan mengambil kesempatan.
“Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memantau rantaian bekalan secara menyeluruh dan memastikan tiada pihak menaikkan harga secara tidak munasabah dengan alasan peningkatan harga bahan api dan gangguan bekalan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Saravanan, kos pembungkusan makanan berpotensi meningkat sekiranya harga bahan mentah dan kos logistik terus terkesan akibat gangguan rantaian bekalan global.
Katanya, keadaan itu boleh memberi kesan langsung kepada harga makanan secara keseluruhan, khususnya bagi peniaga kecil dan pengusaha makanan.
Katanya, pihak berkuasa disaran memantau rantaian bekalan daripada peringkat import bahan mentah hingga ke pengguna akhir bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga kekal terkawal.
“Langkah penguatkuasaan di lapangan juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan sebarang elemen pencatutan ketika pasaran berdepan ketidaktentuan.
“Pada masa sama, kerajaan perlu meneruskan subsidi bersasar, memastikan bekalan barangan asas mencukupi serta meningkatkan ketelusan dalam penetapan harga.
“Komunikasi yang jelas kepada pengguna juga penting bagi mengelakkan panik pembelian yang boleh memburukkan lagi keadaan,” katanya.
Menurutnya, krisis bekalan yang berpunca daripada konflik Asia Barat merupakan cabaran global dan memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, peniaga dan pengguna.
Tambahnya, pengguna juga disaran menggunakan bahan api secara berhemah dan mengurangkan pembaziran bagi membantu menstabilkan permintaan.
“Dengan kerjasama semua pihak dan penguatkuasaan yang konsisten, kesan krisis ini dapat diurus dengan lebih baik tanpa membebankan rakyat secara berlebihan,” katanya. – UTUSAN










