GEORGE TOWN : Parti Progresif Penduduk (PPP) dijangka menyerahkan satu ‘blueprint’ mengandungi tujuh prinsip yang diperjuangkan oleh parti itu kepada Barisan Nasional (BN), minggu depan.
Presiden PPP, Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, antara prinsip itu termasuk tadbir urus ‘hijau’, toleransi sifar terhadap rasuah, keterjaminan ekonomi, kos sara hidup yang berpatutan serta keterjaminan makanan.
Katanya, prinsip lain yang terkandung dalam ‘blueprint’ tersebut ialah kebergantungan terhadap sektor agromakanan bagi memenuhi keperluan nutrisi serta pendidikan iaitu sebagai pemangkin untuk meningkatkan taraf kehidupan dan kesamarataan dalam pendidikan.
“Dalam ‘retreat’ (sesi pemukiman) BN bulan dua (Februari) lalu, mereka (BN) telah minta kita untuk kemukakan ‘blueprint’ dalam masa tiga bulan.
“Jadi, ‘blueprint’ ini telah siap dan kita akan bincangkan hari ini. Kalau tidak ada apa-apa (pindaan), minggu depan kita hantarlah,” katanya ketika ditemui semasa menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di Batu Ferringhi di sini, hari ini.
Untuk rekod, PPP merupakan parti komponen BN sejak 1974, namun, perebutan teraju kepimpinan sebelum ini telah membawa kepada pembatalan pendaftaran parti itu sehingga menyebabkan ia terkeluar daripada BN.
Bagaimanapun, awal tahun ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa parti yang ditubuhkan sejak 1953 itu telah kembali menjadi salah satu daripada parti komponen dalam gabungan berkenaan.
Sementara itu, Loga Balan berkata, PPP kekal dengan ketetapan awal mereka iaitu mahu bertanding di lapan kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya bagaimanapun enggan mengumumkan kerusi-kerusi tersebut kerana ia belum mendapat persetujuan daripada kepimpinan parti.
“Tak adil kalau kita umum sekarang kerana kita tidak mahu perkara ini menjadi isu. Jadi, pendirian saya ialah, kita tak mahu bagi isu kepada siapa-siapa. Kita akan runding. Ya, kita ambil pendekatan untuk berunding,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kira-kira 46 atau 47 peratus daripada keseluruhan 320,000 ahli PPP ketika ini terdiri daripada generasi muda dan pihaknya kini sedang berusaha untuk menarik lebih ramai golongan tersebut bagi menganggotai parti berkenaan.-UTUSAN










