BENTONG: UMNO Bahagian Bentong menzahirkan sokongan penuh terhadap kenyataan media Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Kuantan, semalam.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, titah Tengku Hassanal yang menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan kerajaan Persekutuan adalah suara hati rakyat negeri ini yang mahukan keadilan serta perhatian sewajarnya daripada kerajaan Pusat.
“UMNO Bentong berdiri teguh bersama kepimpinan negeri dalam menuntut hak Pahang agar tidak dipinggirkan. Soal hasil bumi, pelaksanaan projek pembangunan serta bidang kuasa perundangan negeri mesti dihormati dan diberi pertimbangan adil,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Zaini menambah, Pahang sudah lama menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara, justeru sebarang keputusan yang menjejaskan kepentingan negeri ini tidak boleh diterima.
“Rakyat Pahang berhak menikmati limpahan pembangunan setara dengan negeri lain. Jangan biarkan suara negeri yang banyak berkorban demi negara dipandang ringan,” katanya.
Beliau turut menggesa agar kerajaan Persekutuan lebih cakna terhadap tuntutan negeri, selaras dengan titah Tengku Mahkota yang jelas menekankan kepentingan menjaga maruah dan hak rakyat Pahang.
Ketika bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Tengku Hassanal menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak memihak kepada hak dan kepentingan negeri ini.
Baginda dilapor bertitah, kerajaan Pusat perlu lebih cakna terhadap hak negeri termasuk dalam soal hasil bumi, pelaksanaan projek serta bidang kuasa perundangan di negeri ini.
Susulan itu, Wan Rosdy dalam kenyataannya berharap kerajaan Persekutuan memberikan pertimbangan sewajarnya berhubung kelulusan eksport pasir sungai kepada Pahang bagi memastikan sumber hasil negeri diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi pulangan terbaik kepada negeri serta rakyat.
Menteri Besar itu berkata, berdasarkan anggaran semasa, stok pasir di Sungai Pahang berpotensi menjana hasil sekitar RM500 juta yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan pembangunan negeri. – UTUSAN










