Empat ahli Geng 'Man Muncung' terlibat kes pecah rumah ditahan - Utusan Malaysia

Empat ahli Geng ‘Man Muncung’ terlibat kes pecah rumah ditahan

RODZI Abu Hassan menunjukkan pemotong besi dan kuku kambing digunakan oleh Geng 'Man Muncung' untuk melakukan kegiatan pecah kedai di IPD Kubang Pasu hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Empat lelaki termasuk seorang pelajar yang merupakan ahli Geng ‘Man Muncung’ ditahan selepas disyaki terlibat dalam 10 kes pecah kedai di daerah ini sejak Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, empat suspek berusia antara 14 hingga 33 tahun ditahan di Taman Pulasan di sini dan di hadapan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar antara pukul 8.45 malam hingga 10.30 malam, Khamis lalu.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan tidak sampai 24 jam selepas mereka memecah masuk sebuah kedai runcit di Pekan Ayer Hitam dekat sini.

Dalam kejadian itu katanya, mereka memecah masuk ke kedai runcit itu kira-kira pukul 2 pagi dan mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai RM4,250.

“Seorang daripada suspek yang merupakan pelajar berusia 14 tahun manakala tiga yang lain menganggur,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di Jitra di sini hari ini.

Rodzi memberitahu, kesemua individu yang ditahan itu memiliki rekod jenayah lampau dengan suspek utama berusia 33 tahun pernah direman berkaitan kes pecah pejabat syarikat kurier melibatkan kerugian hampir setengah juta ringgit di Alor Setar pada Jun lalu.

Malah katanya, kalangan suspek tersebut dikatakan akan bergilir-gilir menyewa kereta bagi melakukan kegiatan jenayah itu.

Jelasnya, Mykad milik ibu kepada pelajar sekolah berusia 14 tahun tersebut turut pernah digunakan bagi tujuan berkenaan.

Rodzi menambah, modus operandi kumpulan itu hampir sama dalam setiap kejadian dengan mereka akan mencabut fius elektrik di luar kedai untuk mematikan fungsi kamera litar tertutup (CCTV) sebelum memecah masuk ke dalam kedai.

“Antara barangan yang dirampas dalam tangkapan tersebut adalah sepasang sarung tangan, lima telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kelabu yang disewa mereka,” katanya.

“Mereka direman selama lima hari bermula semalam hingga 9 Disember depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya