JOHOR BAHRU: Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) umum hasrat bertanding di empat kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor manakala tiga kerusi pada PRN Negeri Sembilan akan datang.
Setiausaha Agung MIPP, N. Sathes Kumar berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pusat yang diadakan di Nilai, Negeri Sembilan semalam.
“MIPP telah mengenal pasti empat kerusi di Johor dan tiga di Negeri Sembilan untuk ditandingi dan kesemua calon yang bakal diketengahkan merupakan pemimpin muda masyarakat India yang berwibawa serta berpotensi membawa suara generasi baharu.
“Jentera pilihan raya MIPP di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka juga telah digerakkan sepenuhnya dan kini giat menjalankan pelbagai program mendekati rakyat di peringkat akar umbi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Sementara itu, Sathes Kumar turut memberitahu MIPP telah memberikan mandat penuh kepada Presidennya, S. P. Punithan untuk menentukan hala tuju parti susulan perpecahan antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Jawatankuasa Pusat MIPP telah memberikan mandat penuh kepada presiden untuk meneruskan sebarang bentuk perbincangan dan libat urus serta hala tuju politik yang difikirkan sesuai demi kepentingan parti serta masyarakat India.
“MIPP percaya kestabilan politik, perpaduan rakyat serta pembangunan ekonomi negara hendaklah sentiasa menjadi keutamaan semua pihak. Parti akan terus memainkan peranan secara konstruktif dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat India dan rakyat Malaysia,” katanya.-UTUSAN










