KUALA LUMPUR: Kuala Cola menyasarkan untuk muncul sebagai jenama minuman Malaysia bertaraf dunia menerusi kerjasama strategik bersama Dynamic Manufacturing Global (DMG), sekali gus memperkukuh rangkaian pengedaran tempatan dan mempercepat penembusan ke pasaran antarabangsa.
Pengarah Urusan Neatness Group, Datuk Suzana Zakaria berkata, kerjasama itu merupakan permulaan kepada perjalanan lebih besar untuk membina Kuala Cola sebagai jenama tempatan yang mampu berdiri megah di persada global.
Beliau berkata, pasaran minuman berkarbonat negara yang dianggarkan bernilai lebih RM32 bilion setahun menawarkan peluang besar kepada jenama tempatan yang mempunyai produk berkualiti serta strategi pemasaran dan pengedaran yang kukuh.
“Pengguna kini semakin mencari alternatif baharu dan mula menghargai produk tempatan yang mempunyai identiti tersendiri. Kuala Cola menawarkan pilihan Zero Sugar dan Zero Kalori dengan sentuhan garam Himalaya yang memberikan keunikan tersendiri.
“Kita bukan sekadar menjual minuman, tetapi membawa nama Malaysia dan membuktikan jenama tempatan mampu mendapat tempat di hati pengguna serta berkembang ke peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pemeteraian Memorandum Rakan Strategik Pengedaran antara Kuala Cola dan DMG di Mara Halal Industrial Park, di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Pengerusi DMG dan pemilik syarikat DMG Dynamic, Datuk Dr Hassan Saad; Ketua Pegawai Eksekutif DMG, Mohamad Sis Ahmad dan Pengarah Neatness, Dr. Sadona Tham serta wakil syarikat rangkaian.
Suzana berkata, Kuala Cola yang kini dipasarkan pada harga antara RM2.20 hingga RM2.60 sebotol akan diperluas ke pasar raya dan hypermarket di seluruh negara, antaranya KK Mart dan ST Rosyam Mart.
Tambahnya, walaupun baru berada di pasaran sejak Februari tahun lalu, Kuala Cola telah berjaya menembusi Arab Saudi dengan penghantaran mencecah enam kontena sebulan sebelum ini dan kini merancang pengembangan ke Chile, Indonesia serta Thailand.
Sementara itu, Pengerusi DMG, Datuk Dr Hassan Saad, berkata pihaknya yakin terhadap potensi besar Kuala Cola yang terbukti dengan pengedaran sebanyak 30,000 karton dalam tempoh tiga bulan pertama.
“Masyarakat kita sudah lebih 60 tahun minum minuman berkarbonat jenama luar negara, tetapi kini sudah tiba masanya untuk kita menyokong dan beralih kepada produk tempatan yang mempunyai potensi besar seperti Kuala Cola,” katanya.
Beliau berkata kerjasama itu akan membantu memperkukuhkan kedudukan Kuala Cola dalam pasaran tempatan sebelum jenama berkenaan mengembangkan sayap ke lebih banyak pasaran luar negara. – UTUSAN










