DAP gesa Pusat peruntuk dana RM3b stabilkan kenaikan harga barang - Utusan Malaysia

DAP gesa Pusat peruntuk dana RM3b stabilkan kenaikan harga barang

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: DAP menggesa Kerajaan Pusat memperuntukkan dana sebanyak RM3 bilion bagi menstabilkan harga barangan asas termasuk sayur-sayuran di pasaran yang melambung tinggi ketika ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, peruntukan itu perlu disalurkan bagi membantu golongan petani, peniaga dan penjaja dalam mendepani punca sebenar kenaikan harga barang.

Tambahnya, harga barangan yang semakin mahal kini disebabkan bekalan yang tidak mencukupi di pasaran selain kos pengangkutan yang meningkat antara lima hingga enam kali ganda berbanding sebelum ini.

“Ketika ini bekalan barangan di pasaran tidak mencukupi kerana rantaiannya terputus selain kos pengangkutan yang mahal.

“Jadi bagaimana kerajaan mahu mengharapkan peniaga menjual barang pada harga murah sekiranya kos barang yang diperoleh mereka jauh lebih tinggi?” Soalnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng menggesa kerajaan Pusat khususnya Kementerian Kewangan menarik balik arahan supaya setiap pengusaha restoran dan kopitiam memohon lesen dengan kos kira-kira RM1,300 untuk menjual arak selepas ini.

Jelas beliau, arahan mengenai permohonan lesen itu dikeluarkan menerusi pekeliling Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dipercayai akan diedarkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Menurutnya, syarat baharu itu jelas menambah beban kos kepada pengusaha restoran dan kopitiam yang ketika ini masih lagi terkesan dan menanggung kerugian ekoran pandemik Covid-19.

“Arahan ini adalah sesuatu yang tidak munasabah kerana akan mengurangkan premis penjualan arak dan secara tidak langsung merupakan sekatan kepada hak bukan Islam untuk mengamalkan cara hidup seperti yang telah dilakukan mereka sejak negara merdeka,” katanya.

Sehubungan itu tambah beliau, DAP akan meneliti syarat baharu lesen penjualan arak tersebut dari sudut undang-undang dan menggesa semua PBT tidak mematuhi pekeliling terbabit selagi tidak mendapat penjelasan lanjut daripada Kementerian Kewangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN