PETALING JAYA: Jurulatih olahraga berpengalaman negara, Mansahar Abdul Jalil bakal dilantik sebagai ketua jurulatih skuad olahraga kebangsaan selepas namanya dicadangkan oleh Olahraga Malaysia (MA).
MA dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mencadangkan agar Mansahar kembali membimbing pasukan olahraga negara menjelang persiapan mereka menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand dalam perbincangan strategik bersama Majlis Sukan Negara (MSN).
“Pelantikan ini bagi menyelaraskan kelancaran pelan perancangan persiapan pasukan dalam tempoh tersebut dan cadangan ini akan dibawa untuk pertimbangan dan kelulusan dalam masa terdekat oleh pihak berkaitan,” kata MA.
Mansahar bukan nama asing dalam sukan olahraga negara kerana dia sebelum ini pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih pada 2022 dan antara atlet yang menyinar di bawah bimbingannya adalah atlet lompat bergalah, Nor Sarah Adi.
Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah penstrukturan semula barisan jurulatih serta pelaksanaan program pendedahan latihan dan pertandingan luar negara.
“Langkah ini dilihat sebagai usaha strategik bagi memperkukuh prestasi dan kesiapsiagaan kontinjen olahraga negara menjelang temasya serantau itu.
“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan inisiatif yang dirancang, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) turut diputuskan untuk diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan tindakan susulan secara lebih terperinci,” katanya. – UTUSAN










