KUALA LUMPUR: Inisiatif Kawalan Inflasi Perubatan (RESET) dijangka memperkenalkan reka bentuk produk asas menjelang separuh kedua tahun ini, dengan program rintis disasarkan bermula tahun depan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, RESET bertujuan menyediakan perlindungan kewangan lebih menyeluruh, meningkatkan akses kepada insurans mampu milik serta menambah baik kualiti penjagaan kesihatan dari peringkat primer hingga hospital.
“Produk asas ini akan menawarkan perlindungan keperluan minimum pada harga berpatutan sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat dilindungi,” katanya pada sesi panel terakhir Simposium Sasana 2025 bertajuk Rising Cost, Rising Stakes: Expediting Reforms to Address Medical Inflation di sini hari ini.
Tambahnya, RESET juga dilihat dapat memperkukuh peranan penjagaan primer dan amalan pencegahan awal bagi mengurangkan beban kepada sistem kesihatan sekunder dan seterusnya menjadikan perbelanjaan sektor kesihatan swasta lebih cekap serta berkesan.
“Malaysia kini memasuki fasa baharu menerusi RESET yang merupakan agenda transformasi berskala nasional dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi utama bagi menangani inflasi kos penjagaan kesihatan.
“RESET bukan langkah sementara, tetapi komitmen jangka panjang untuk meningkatkan ketelusan, kecekapan dan keterjangkauan sistem penjagaan kesihatan negara,” katanya.
Menurut Abdul Rasheed, RESET merangkumi lima teras strategik iaitu ketelusan harga, penambahbaikan mekanisme pembayaran penyedia, transformasi produk insurans dan takaful perubatan serta kesihatan (MHIT), pilihan berkesan kos dan kesihatan digital, disokong 11 inisiatif utama.
“Inisiatif ini menekankan pendekatan holistik yang melibatkan empat kumpulan pemegang taruh iaitu penyedia (hospital), pembayar (syarikat insurans), doktor dan pesakit. Kesemua pihak perlu bergerak seiring agar matlamat RESET dapat dicapai,” katanya.
Mengulas mengenai kadar inflasi perubatan, beliau berkata, kadar di Malaysia dianggarkan sekitar 15 peratus, lebih tinggi berbanding purata Asia Pasifik pada kadar 11 peratus.
“Ini menunjukkan masih ada ruang untuk kita bertindak. BNM bersama agensi berkaitan juga sedang membangunkan pangkalan data bersepadu bagi menilai inflasi sebenar dengan lebih telus dan berkesan,” katanya.-UTUSAN










