TEHERAN: Iran memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) agar bersedia menerima serangan balas dengan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan sekiranya negara itu cuba campur tangan dalam konflik yang sedang berlaku dengan Israel.
Duta Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Ali Bahreini menyampaikan kenyataan itu dalam satu sidang media, menurut laporan AFP.
“Kami akan bertindak balas dengan tegas dan akan menghentikan sebarang bentuk pencerobohan, sama ada dari pihak Israel atau AS.
“Kami telah menghantar mesej kepada AS bahawa kami akan bertindak dengan sangat tegas dan akan menghentikan pencerobohan dari mana-mana pihak termasuk dari Washington,” katanya.
Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, menolak gesaan Presiden AS, Donald Trump agar Iran menyerah kalah tanpa syarat.
Dalam kenyataan awam pertamanya sejak Jumaat lalu, Khamenei menegaskan keamanan atau peperangan tidak boleh dipaksa ke atas Republik Islam itu.
“Orang yang bijak dan mengenali Iran, rakyatnya, serta sejarah negara ini tidak akan berbicara dengan kami menggunakan bahasa ancaman, kerana rakyat Iran tidak akan menyerah kalah.
“AS harus sedar sebarang campur tangan ketenteraan dari pihak mereka pasti akan membawa kepada kerosakan yang tidak dapat dipulihkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh penyampai televisyen pada hari Rabu.
Sementara itu, ribuan penduduk dilaporkan melarikan diri dari Teheran selepas pesawat pejuang Israel mengebom bandar itu pada waktu malam.
Sumber turut memaklumkan Trump kini sedang mempertimbangkan beberapa pilihan, termasuk menyertai Israel menyerang tapak nuklear Iran.










