ROM: Seorang warga emas berusia 80 tahun mencetuskan kekecohan apabila secara tidak sengaja memandu kereta Mercedes-Benz menuruni tangga ikonik Spanish Steps di pusat bandar Rom awal pagi Selasa lalu, sebelum kenderaannya tersangkut di tengah laluan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh polis Rom, hasil siasatan mendapati lelaki terbabit bebas daripada pengaruh alkohol.
Bagaimanapun, identiti pemandu tidak didedahkan, termasuk sama ada kenderaan mewah itu miliknya atau dipandu menggunakan bantuan sistem navigasi (GPS).
Pasukan bomba terpaksa dipanggil ke lokasi kejadian dan sebuah kren digunakan bagi mengangkat kenderaan tersebut dari tangga itu.
Setakat ini, pihak polis belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan media untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian itu.
Spanish Steps yang dibina sekitar tahun 1720-an merupakan antara monumen ikonik di Rom dan tidak direka bentuk untuk kegunaan kenderaan.
Namun, lokasi itu beberapa kali menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab yang cuba menempuh laluan tersebut dengan kenderaan bermotor.
Pada tahun 2022, seorang lelaki warga Arab Saudi telah dikenakan tuduhan merosakkan warisan budaya secara berat selepas kamera litar tertutup (CCTV) merakam tindakannya memandu kereta sewa jenis Maserati menuruni 135 anak tangga travertine itu.
Tangga bersejarah berkenaan dinamakan sempena kedutaan Sepanyol ke Takhta Suci yang terletak berhampiran dan sering dijadikan latar belakang dalam filem-filem terkenal serta menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia. -AGENSI










